‘Kami sudah letih, bila masalah air akan selesai’? - Utusan Malaysia

‘Kami sudah letih, bila masalah air akan selesai’?

TOH KOK HOO (kiri) dan Gan Ay Ling menunjukkan paip air yang sudah lebih dua minggu tidak mengeluarkan air ekoran gangguan bekalan air di Taman Mutiara 3, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Lebih 350 penduduk di Taman Mutiara 3 di sini buntu dan tertekan kerana terpaksa berdepan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah didakwa berlaku sejak belasan tahun lalu.

Lebih menyakitkan, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, masalah ketiadaan bekalan air di kawasan berkenaan ketika ini sudah berlarutan lebih dua minggu meskipun aduan demi aduan telah dibuat kepada pihak bertanggungjawab.

Seorang penduduk, Toh Kok Hoo,38, berkata, kawasan berkenaan mengalami gangguan bekalan air sudah lebih dua minggu dan masalah sama juga sentiasa berulang sehingga menyebabkan penduduk terpaksa mengambil air di tempat lain untuk kegunaan harian.

Katanya, masalah ketiadaan air sangat kerap berlaku di kawasan tersebut dan kalau ada sekali pun tekanan sangat rendah dengan air yang keluar hanya setitik-setitik sahaja.

“Dengan sambutan Tahun Baharu Cina makin dekat, kami bimbang masalah ketiadaan air ini akan terus berlarutan. Setiap hari, kami terpaksa bangun pukul 2 atau 3 pagi untuk menyimpan air kerana pada waktu itu bekalan air kembali namun hanya keluar setitik-setitik.

“Kehidupan kami sangat terkesan ekoran masalah yang terus berlarutan ini. Jiran-jiran ada yang sudah membuat aduan kepada Syarikat Air Perlis (SAP), namun, masih tidak ada tindakan atau jalan penyelesaian. Dalam setahun banyak kali terpaksa berdepan gangguan bekalan air ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Pang Kui Limm,68, berkata, masalah gangguan bekalan air bukan perkara baharu dan berlarutan sejak belasan tahun menyebabkan penduduk di situ buntu.

“Dalam satu bulan, beberapa kali tidak ada air dan kalau ada tekanan rendah. Saya mencadangkan agar sebuah tangki besar dibina di kawasan ini bagi menyelesaikan masalah bekalan air ini,” katanya yang menetap di kawasan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Cheah Kok Leong,56, pula berkata, masalah gangguan bekalan air di kawasan itu paling lama pernah berlarutan sehingga sebulan.

“Sekarang ini, saya terpaksa mengambil air di kedai saya di Beseri kerana sudah dua minggu tidak ada air. Kerap sangat berlaku masalah ketiadaan air ini dan kami sendiri tidak tahu apa sebenar punca dan bila akan selesai,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, masalah tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama dengan SAP dan kerajaan negeri perlu memandang serius isu berkenaan kerana telah menyusahkan para penduduk.

“Selain Taman Mutiara 3, perumahan berhampiran pula berdepan masalah tekanan air rendah dan kadang-kala air keruh. Malah, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, akan menyebabkan sambutan hari raya sedikit sebanyak terjejas,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya