Aisha Retno mahu ‘healing’ sebelum galas projek gergasi - Utusan Malaysia

Aisha Retno mahu ‘healing’ sebelum galas projek gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Penyanyi, Aisha Retno, mengakui tahun ini merupakan fasa paling sibuk dalam kerjaya seninya apabila perlu membahagikan masa antara beberapa projek gergasi yang hadir serentak.

Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayeed Mariam, 25, bakal muncul dalam festival muzik Latihan Pestapora pertama kali Ogos nanti yang disifatkan sebagai impiannya sejak dahulu.

“Ini adalah rezeki dan saya tidak akan sia-siakan. Ia adalah impian saya untuk beraksi di pentas Pesta Pora walaupun lokasinya di Kuala Lumpur.

“Ini adalah permulaan dan saya berharap ada rezeki untuk saya dibawa ke Pesta Pora di Indonesia pula selepas ini.

“Saya akan hadir bertiga di atas pentas iaitu bersama Aziz Harun dan Nadhif Basalamah. Sangat teruja sebab kali terakhir saya tampil di festival adalah pada Java Jazz Festival 2024,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selain Latihan Pestapora, Aisha bakal tampil menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Sebagai artis, kita kena tahu bagaimana mahu bahagikan masa dan fokus. Ini adalah peluang seumur hidup, sudah tentu saya tidak akan menolak Pesta Pora dan dalam masa sama akan menggalas tanggungjawab untuk AJL.

“Apa yang penting adalah kesediaan mental dan fizikal. Saya perlu pastikan diri cukup sihat untuk mengharungi semua ini,” katanya.

Sedar akan bebanan kerja yang bakal memuncak pada bulan Ogos, Aisha mendedahkan dia merancang untuk mengambil cuti singkat pada Julai depan sebagai ruang untuk diri sendiri berehat atau ‘healing’ sebelum kembali ke medan perjuangan.

“Sebenarnya selepas pengumuman penglibatan saya dalam PGLM, saya memutuskan untuk berehat sejenak sebelum bermulanya debaran AJL pada Ogos. Jadi, Julai adalah bulan untuk saya mengembara dan berehat sebentar,” katanya.

Dalam pada itu, Aisha turut mengambil pendekatan matang dalam mendepani sebarang anasir negatif atau spekulasi yang cuba mengganggu fokusnya. Baginya, keutamaan kini diberikan kepada perancangan kerjaya yang lebih besar termasuklah persiapan album terbaharu.

“Banyak lagi benda saya kena fokus. Ada AJL, PGLM, Pesta Pora dan perancangan untuk melancarkan album. Saya anggap segala cabaran yang datang sebagai jentikan daripada Tuhan untuk melihat bagaimana saya bertindak balas.

“Saya pilih untuk sabar dan terus memandang ke hadapan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN