KULAI: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai ketika sedang menjerat ayam di kawasan hutan Taman Putri Kulai, di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, abang ipar lelaki tersebut tampil membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas dia tidak pulang ke rumah.
Katanya, keluarga cuba menjejaki lelaki berkenaan di lokasi terakhir dia berada namun menemui jalan buntu.
“Lawrence anak Apino yang berusia 27 tahun beralamat No 5868, Tingkat 3, Blok Cengal, Jalan Sri Putri, Kulai dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah.
“Sehingga laporan polis dibuat, masih belum pulang ke rumah dan gagal dikesan. Pengadu telah berusaha mencari dan mengesannya di merata tempat namun tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengadu kini bimbang akan keselamatan adik iparnya itu.
Jelasnya, tinggi adik iparnya 169 sentimeter, berat 60 kilogram, muka runcing, hidung kemak/mangga, mata sepet, rambut pendek hitam, berkulit kuning langsat dan bertatoo di kedua belah tangan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Lailatulhilaliah Mohammad Ramli menerusi talian 012-9642245 atau Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai 07-6632222. – UTUSAN










