JPV NS ambil langkah berjaga-jaga susulan pengesanan Demam Babi Afrika di Melaka - Utusan Malaysia

JPV NS ambil langkah berjaga-jaga susulan pengesanan Demam Babi Afrika di Melaka

LADANG ternakan babi tanpa lesen yang terdapat di Tanah Merah, Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga susulan pengesanan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di 16 ladang komersial di Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr. Redzuan Ibrahim berkata, walaupun sehingga kini tiada kes penyakit ASF dilaporkan berlaku di negeri ini, langkah proaktif tersebut penting agar jangkitan tidak merebak ke ladang-ladang ternakan babi di negeri ini.

Jelas beliau, antara langkah yang diambil termasuk meningkatkan kawalan biosekuriti di negeri ini dengan mengenakan syarat pergerakan haiwan yang ketat dan kawalan sempadan dilakukan.

“JPV turut mengeluarkan notis berhenti operasi segera kepada premis yang masih menternak secara tanpa lesen dan melakukan aktiviti penyembelihan babi secara tanpa kebenaran yang sah dari pihak jabatan.

“Kami turut mengeluarkan surat dan notis pemakluman berkaitan penularan penyakit ASF kepada semua agensi kerajaan, semua penternak babi hutan, semua penjual dan restoran daging babi hutan dan premis yang berkaitan dengan industri babi selain membuat hebahan dan khidmat nasihat ASF kepada penternak babi berlesen dan tidak berlesen,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, JPV mengesahkan penyakit ASF telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka dan bagi mengawal serta mencegah rebakan penyakit ASF, JPV menguatkuasakan stamping out policy menerusi pemusnahan babi ladang yang disahkan positif ASF.

Sehingga 7 Januari lalu, sejumlah 1,864 ekor ternakan babi yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang itu telah dimusnahkan.

Sementara itu, Dr. Redzuan berkata, di negeri ini hanya terdapat sebuah ladang ternakan babi berlesen iaitu di Tampin manakala terdapat 23 ladang tanpa lesen yang telah dikenal pasti iaitu di sekitar Kampung Tanah Merah Site A dan Site C di Port Dickson.

“Pihak jabatan mengeluarkan notis untuk berhenti operasi kepada semua premis ternakan babi tanpa lesen yang terlibat. Sehingga kini, sebanyak tiga pengusaha disaman di bawah Enakmen Mengawal Pemeliharaan Babi 1980 kerana melakukan aktiviti penternakan babi tanpa lesen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN