Buat keputusan secara konsensus, tertutup – Pemuda Gerakan

Buat keputusan secara konsensus, tertutup – Pemuda Gerakan

TOMMY NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Segala keputusan berkaitan kerjasama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) perlu dibuat secara konsensus dan semangat saling menghormati.

Ketua Penerangan Pemuda Nasional, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Tommy Ng berkata, ia juga wajar dibincangkan secara matang serta tertutup demi menjaga kestabilan dan kekuatan pembangkang secara keseluruhan.

Beliau berpendirian, perpaduan dan kestabilan dalam kalangan parti-parti pembangkang amat penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Pemuda Gerakan mengambil maklum kenyataan Presiden Pas berhubung keperluan menilai semula bentuk kerjasama politik menjelang PRU16.

“Bagi kami, perkara seperti ini adalah lumrah dalam mana-mana gabungan politik. Namun, sebarang perbezaan pandangan perlu diurus dengan semangat musyawarah dan saling menghormati.

“Apa yang penting, fokus utama Pemuda Gerakan adalah memastikan agenda rakyat, kestabilan gabungan dan kesiapsiagaan menghadapi PRU16 terus diberi keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam Pas memaklumkan sedang meneliti semula hubu­ngan dan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PR16 termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam PN dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.

Mengulas kenyataan Presiden Gerakan sebelum ini yang bersedia menerima parti baharu Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam PN, Tommy berkata, ia tidak harus ditafsirkan sebagai memilih mana-mana kem tertentu.

Jelasnya, pihaknya percaya hubungan baik perlu dikekalkan dengan semua pihak tanpa me­ngira kelompok atau kem.

“Gerakan sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan profesional dalam bekerjasama de­ngan semua pimpinan serta parti komponen dalam PN.

“Apa yang penting adalah kesepakatan dalam memperkukuh gabungan, memperjuangkan isu rakyat dan membina keyakinan pengundi terhadap alternatif yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Disoal hubungan Pemuda Gerakan dengan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, beliau berkata, setakat ini ia berada dalam keadaan baik dan profesional.

“Kami sentiasa berkomunikasi serta bekerjasama dalam pelbagai program dan isu melibatkan kepentingan rakyat serta gerak kerja politik semasa,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN