fbpx

25 Jun 2022, 4:13 pm

  TERKINI

Jihan Musa didakwa salah guna kuasa

NOR Jihan Musa (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan Pahang oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan salah guna kuasa. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang ketua cawangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan sendiri.

Tertuduh, Nor Jihan Musa, 37, memohon untuk dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nor Jihan melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di pejabat agensi berkenaan pada Disember 2020 dan Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Disember 2020 dengan menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan ubah syarat lesen pengendali atau permit kenderaan barangan syarikat miliknya sendiri.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 31 Mac 2021, didakwa menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran kepada syarikat miliknya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu. Jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 akan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 kepada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan, bagaimanapun mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 selepas mendengar hujahan rayuan peguambela tertuduh.

Hakim menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan bermula Januari 2022 sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

POPULAR

KOSMO! TERKINI