NEW YORK: Kematian seorang wanita berusia 27 tahun kira-kira sejam selepas menerima suntikan di sebuah pusat kesihatan di Bronx pada Julai lalu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Menurut jurucakap pejabat pemeriksa perubatan bandar itu, mangsa dikenali sebagai Elizabeth Baron dilaporkan meninggal dunia akibat embolisme udara pada jantung, berdasarkan keputusan bedah siasat.
Keadaan itu berlaku apabila udara memasuki saluran intravena dan bergerak ke jantung, sekali gus mengganggu aliran darah.
Keputusan berkenaan membuka ruang kepada pendakwa raya untuk mengemukakan pertuduhan lebih serius terhadap Luis Rojas Cabrera, yang memberikan Baron infusi intravena nicotinamide adenine dinucleotide (NAD+) pada Julai lalu.
Baron yang tinggal kurang 3.2 kilometer dari pusat kesihatan itu, meninggal dunia kira-kira sejam selepas menerima infusi berkenaan.
Cabrera sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membahayakan keselamatan secara melulu dan menjalankan profesion tanpa kebenaran.
Sehingga 21 September lalu, tidak dapat dipastikan sama ada beliau sudah didakwa atas pertuduhan tambahan.
Peguam Cabrera, Donald Vogelman, berkata klasifikasi sebagai kes bunuh tidak semestinya bermaksud anak guamnya melakukan pembunuhan kerana kematian itu juga boleh berlaku akibat kemalangan.
“Homisid merujuk kepada perbuatan menyebabkan kematian seseorang, tanpa mengira niat atau keadaan yang membawa kepada kematian itu.
“Dalam kes ini, jika benar berlaku homisid, ia berpunca daripada kemalangan. Saya yakin anak guam saya akan dibebaskan sepenuhnya oleh mahkamah,” katanya.
NAD+ ialah molekul yang terdapat dalam sel dan penting bagi penghasilan tenaga serta beberapa proses biologi asas lain.
NAD+ kini popular sebagai suplemen untuk membantu melanjutkan jangka hayat, namun terdapat sedikit bukti mengenai keberkesanannya terhadap manusia dan penggunaannya sebahagian besarnya tidak dikawal selia.
Di Amerika Syarikat (AS), tiada pensijilan lembaga khusus untuk mengiktiraf pengamal perubatan bidang memanjangkan usia.
Banyak rawatan yang didakwa membantu melambatkan proses penuaan, termasuk peptida dan suplemen, masih mempunyai bukti kajian terhadap manusia yang terhad serta sedikit atau tiada pengawasan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).
Di New York, seseorang perlu mempunyai lesen sebagai pengamal perubatan untuk memberikan bahan melalui saluran intravena. Menurut aduan jenayah, Cabrera tidak mempunyai lesen untuk menjalankan amalan perubatan di AS.- AGENSI











