'Miselia’ diinspirasikan daripada pandemik Covid-19 - Ekien Zainal - Utusan Malaysia

‘Miselia’ diinspirasikan daripada pandemik Covid-19 – Ekien Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah telefilem Miselia, Ekien Zainal, mendedahkan idea menghasilkan karya yang mengangkat kisah pesakit Kecelaruan Identiti Disosiatif (DID) tercetus ketika pandemik Covid-19, selepas melihat tekanan yang ditanggung keluarga yang kehilangan pekerjaan.

Ekien Zainal, berkata, ketika ramai orang dibuang kerja pada waktu itu, fikirannya bukan tertumpu kepada individu yang kehilangan pekerjaan tetapi lebih kepada nasib waris dan anak-anak yang turut berdepan tekanan.

“Saya tak fikir orang yang kena buang kerja itu. Saya fikir waris dia, apa yang jadi kepada waris dan anak-anak sebab masing-masing dibelenggu dengan masalah.

“Ketika itu tekanannya sangat hebat. Dari situlah perlahan-lahan cerita ini dikembangkan,” katanya.

Ekien berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media pratonton telefilem Miselia di Theatrette, Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.

Jelas Ekien, daripada situlah lahirnya idea untuk menyelami dengan lebih mendalam minda manusia dan menjadi asas kepada pembentukan watak yang mengalami DID dalam telefilem tersebut.

Katanya lagi, karya itu melalui beberapa fasa sebelum menemukan bentuk akhirnya.

“Daripada cerita bertajuk Logamaya, kemudian menjadi Fatamorgana dan akhirnya Miselia.

“Miselia ialah terma fiksyen yang saya cipta sendiri, tetapi saya ambil inspirasinya daripada perkataan saintifik miselium.

“Jadi, saya selaraskan semuanya dengan prop dalam cerita ini. Pada zaman itu, isteri terpaksa bertungkus-lumus menjana pendapatan dengan membuat tanaman cendawan secara kecil-kecilan.

“Kalau tengok tadi, ada cendawan yang mengeluarkan spora. Hakikatnya, kalau kita gali lebih dalam, spora itu aktif pada waktu pagi, tetapi tadi berlaku pada tengah hari. Maknanya, itu ialah mainan ilusi watak itu sendiri,” katanya.

Menyentuh pemilihan Bukit Fraser sebagai lokasi penggambaran, dia berkata latar tersebut membantu membina dunia fiksyen untuk telefilem ini.

Katanya, disebabkan cerita itu mempunyai unsur keganasan dan kaitan dengan polis, dia sengaja mencipta naratif serta lokasi rekaan seperti Garment Hill supaya tidak menyerupai mana-mana tempat sebenar.

“Sebab itu saya cipta Garment Hill, malah papan tanda yang muncul dalam cerita itu pun dihasilkan khas untuk dunia fiksyen yang kami bina,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Miselia bakal bersiaran pada 10 Oktober 2026, eksklusif di TV1 dan boleh distrim secara digital menerusi RTMKlik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×