MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka masih belum memuktamadkan sama ada akan bergerak solo atau membentuk kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan mengenai bentuk kerjasama politik hanya akan dibincangkan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang diumumkannya hari ini dan berkuat kuasa esok.
“Kita selesaikan ini dululah (pembubaran DUN). Selepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita.
“Saya pastinya akan ada rundingan-rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya pada sidang Media Khas selepas mengumumkan pembubaran DUN Melaka di Auditorium Seri Negeri hari ini.
Ab Rauf berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu dibuat selepas proses rundingan sebelum diputuskan mengikut saluran parti.
Katanya, pendirian itu selari dengan kenyataannya sebelum ini bahawa BN Melaka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak menerusi formula BN Plus, namun rundingan rasmi hanya akan dilakukan selepas pembubaran DUN.
Malah, sehari sebelum pembubaran DUN, Ab Rauf menegaskan sebarang rundingan kerjasama PRN tidak wajar dilakukan menerusi media sosial, sebaliknya BN akan menggunakan saluran rasmi dengan mengeluarkan surat kepada parti yang berminat untuk mengemukakan tawaran kerjasama strategik masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf sebelum ini menetapkan 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN Melaka lalu sebagai asas utama dalam sebarang rundingan kerjasama.
Beliau berkata BN tidak akan berkompromi terhadap 21 kerusi berkenaan, yang menjadi garisan sempadan dalam perbincangan dengan mana-mana parti yang mahu membentuk kerjasama politik bersama BN.
Pada PRN Melaka ke-15, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UTUSAN











