SEREMBAN: Bagi menjaga kesucian al-Quran, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuka empat pusat pengumpulan naskhah kitab suci itu di negeri ini terutama yamg rosak akibat banjir.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, pusat itu bertujuan menjaga kesucian dan memelihara kemuliaan al-Quran sebelum ia dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan pihaknya.
“JHEAINS membuka empat pusat pengumpulan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir. Lokasinya di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rembau, Jelebu, Kuala Pilah dan Port Dickson.
“Setiap pejabat agama daerah akan dikendalikan pegawai kami yang bertugas dan orang ramai ramai yang mahu menyerahkan al-Quran boleh menghubungi pejabat agama yang terbabit untuk maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, bagaimanapun pihaknya hanya mengumpulkan naskhah al-Quran dan orang ramai dinasihatkan supaya mengeringkannya terlebih dahulu sebelum diserahkan di pusat pengumpulan.
“Banjir yang melanda negara khususnya di Negeri Sembilan mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuklah naskhah al-Quran di masjid, surau, sekolah dan rumah persendirian.
“Al-Quran yang rosak akan dilupuskan mengikut kaedah yang menepati hukum syarak bagi memastikan kemuliaannya,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak khususnya umat Islam di lokasi terjejas diminta menghantar naskhah al-Quran yang mengalami kerosakan ke pusat pengumpulan yang berdekatan.










