Cuba beri amaran kepada AS - Utusan Malaysia

Cuba beri amaran kepada AS

MIGUAL DIAZ-CANEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel, memberi amaran sebarang serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap negaranya akan mencetuskan ‘pertumpahan darah’ dengan akibat yang tidak terkira, ketika ketegangan antara Havana dan Washington kembali memuncak.

Dalam kenyataan di platform X, beliau menyatakan Cuba tidak menimbulkan sebarang ancaman atau niat agresif terhadap mana-mana negara termasuk AS.

“Cuba tidak mempunyai rancangan agresif terhadap mana-mana negara dan AS juga mengetahui perkara itu,” katanya kelmarin.

Díaz-Canel turut mendakwa, Cuba kini berdepan ‘pencerobohan pelbagai dimensi’ daripada AS, namun menegaskan negara itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri jika diserang.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan perang terhadap rakyat Cuba.

Hubungan kedua-dua negara kini dilaporkan berada pada tahap paling tegang dalam beberapa dekad, dipengaruhi tekanan politik baharu dari Washington dan krisis tenaga yang semakin meruncing di Cuba.

Minggu lalu, kerajaan Cuba memaklumkan bantuan minyak dari Russia habis digunakan sehingga memaksa rakyat negara itu berdepan gangguan bekalan elektrik yang berterusan.

Kelmarin, pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan sekatan baharu ke atas kerajaan Cuba, termasuk agensi perisikan utama negara itu dan Kementerian Dalam Negeri.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam kenyataan berkata, tindakan sekatan tambahan dijangka akan diumumkan dalam beberapa hari atau minggu akan datang.

Washington turut menyenaraikan 11 pegawai Cuba dalam sekatan tersebut, termasuk Menteri Kehakiman dan Timbalan Menteri Angkatan Tentera Revolusi Cuba.

Sementara itu, satu lagi tekanan terhadap pulau itu berlaku pada Ahad apabila Reuters melaporkan syarikat perkapalan utama Hapag-Lloyd dan CMA CGM tidak lagi akan menghantar atau menerima kargo ke Cuba bagi mematuhi peraturan baharu pentadbiran Trump.- CNN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN