Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bincang isu SPRM minggu depan - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bincang isu SPRM minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan bermesyuarat pada 19 Januari ini berhubung isu pemilikan saham syarikat membabitkan Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang memaklumkan beliau telah menerima surat jemputan menghadiri mesyuarat itu pada hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan akan berlangsung pada pukul 2 petang, 19 Januari di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Blok Utama Parlimen.

“Isu yang akan bincang adalah isu pemilikan saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Foong Hin memuatnaik surat jemputan yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin dan kemudian meminta ahli-ahli Parlimen selaku anggota jawatankuasa itu untuk menjalani ujian kendiri Covid-19 RTK di samping perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Terdapat sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas).

Selain Foong Hin (DAP), anggota lain adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN); Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN);  Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau (GPS); Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir (Pas);  Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen (PKR); Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Azam sebelum ini dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan tertinggi agensi pencegahan rasuah negara. Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Menerusi sidang media Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang minggu lalu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN