fbpx

Jangkitan Covid-19, tiada sekolah ditutup di Sabah

MASIDI Manjun (tengah) menyampaikan peruntukan Bakti kepada wakil JPNS dan Jheains di Menara Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiada penutupan sekolah dilakukan setakat ini biarpun terdapat kluster Covid-19 dikesan di dua sekolah di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penularan jangkitan yang berlaku di dua asrama sekolah setakat ini masih terkawal maka, tiada keperluan untuk menutup sekolah.

“Sekolah di Ranau, kita dapati jumlah yang dijangkiti tidak ramai dan ia berlaku dalam kalangan mereka yang duduk satu asrama sahaja. Sebolehnya, kita cuba mengelak daripada menutup sekolah.

“Pengajaran kita terima daripada pandemik Covid- 19 ini adalah cara mengurus dahulu dan sekarang amat berbeza.

“Dahulu tiada vaksin maka cara untuk mengekang penularan adalah melalui sekatan pergerakqn (lockdown) tapi sekarang, kita sudah ada vaksin,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan Bakti dan pelancaran program Bagus, Bisbah dan Aksa 2022, di Menara Kinabalu hari ini.

Setakat semalam, tujuh pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau didapati positif Covid-19 manakala, di SMK Tambunan seramai 35 pelajar asrama dikesan positif pada Ahad.

Justeru, pendekatan yang harus diambil adalah memastikan semua individu menerima vaksin agar risiko jangkitan dapat dikurangkan.

Mengulas lanjut katanya, tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan pergerakan penuh akan dilaksanakan di Sabah bagi mengelakkan ekonomi tidak terus terjejas.

“Kalau lihat kepada trend seluruh dunia ingin mengelak untuk melaksanakan sekatan pergerakan kerana ia akan menjejaskan ekonomi. Lockdown akan memusnahkan keutuhan dan kekuatan ekonomi dan dengan sendirinya ia mengakibatkan kesusahan kepada rakyat.

“Kita khuatir rakyat boleh meneruskan kehidupan selepas dijangkiti Covid-19 tapi, mereka tidak boleh teruskan hidup tanpa duit dan pendapatan,” katanya.

Dalam majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Masidi memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan RM35 juta bagi pembangunan pendidikan Sabah.

Peruntukan itu merangkumi tiga inisiatif baharu yang akan diagihkan pada tahun ini iaitu bantuan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sabah (Bagus), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (Bisbah) dan anugerah kecemerlangan pendidikan Sabah (Aksa) 2022.

Masidi, yang juga Pembantu Menteri Kewangan turut menyampaikan bantuan khas tunai peperiksaan (Bakti) kepad Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains).- UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI