Isu Azam Baki: Terima keputusan SC tunjuk kegagalan kerajaan - Gobind  - Utusan Malaysia

Isu Azam Baki: Terima keputusan SC tunjuk kegagalan kerajaan – Gobind 

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta orang ramai menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menunjukkan kegagalan menyeluruh kepimpinan di pihaknya dan kegagalan menyeluruh di pihak kerajaan untuk menangani masalah institusi yang memberi impak besar kepada negara kita.

Perkara itu antara ditegaskan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini. 

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, Perdana Menteri mesti menerima hakikat bahawa orang ramai mempunyai hak untuk menyoal terutama dalam kes-kes yang mana terdapat soalan terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa. 

Oleh itu katanya, Ismail Sabri tidak boleh meminta orang ramai untuk menerima keputusan tersebut semata-mata.

“Dalam kes ini, tiada alasan diberikan pada awalnya yang menjelaskan mengapa siasatan tidak dapat memutuskan bahawa seksyen 25(4) telah dilanggar. Apabila pihak tersebut ditekan untuk memberikan jawapan, SC telah mengeluarkan kenyataan kedua. Kenyataan itu merujuk kepada bukti bebas yang nampaknya bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di dalam sidang medianya pada 10 Januari baru-baru ini.

“Saya mahu Perdana Menteri menjelaskan perkara ini. Jika beliau tidak mampu, maka siapakah beliau untuk meminta orang ramai agar menerima sahaja keputusan yang sedemikian?,” katanya. 

Semalam, media melaporkan, Perdana Menteri meminta semua berlapang dada menerima keputusan SC berhubung kes Azam. 

Malah beliau meminta pembangkang turut akur dan bukannya terus mempolitikkan isu saham adik Ketua Pesuruhjaya SPRM itu. 

“SC sudah pun buat keputusan dan sebagaimana kerajaan pernah kata sebelum ini, kita akan serahkan isu itu kepada penilaian pihak SC yang lebih arif dalam hal tersebut,” katanya

Menurut Gobind, Perdana Menteri juga harus melihat Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan menghormati hakikat bahawa Peguam Negara dan bukannya beliau atau SC yang harus memutuskan sama ada sebarang tindakan perlu diambil dalam kes tersebut.

“Peguam Negara yang seharusnya berbuat demikian selepas semua pihak berkuasa yang berkenaan sama ada polis, SC atau sesiapa sahaja yang berkaitan, menyelesaikan siasatan mereka terhadap perkara itu dan memberikan hasil siasatan dan laporan mereka kepadanya. 

“Ini adalah proses yang mesti dihormati. Malangnya Perdana Menteri  mengambil pendekatan sedemikian dalam menangani isu ini. Beliau sepatutnya melakukan sesuatu, tetapi tidak mengambil peluang ini untuk menunjukkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan pembaharuan institusi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN