Import Liga M3 'dibeku', hadiah juara RM100,000 - Utusan Malaysia

Import Liga M3 ‘dibeku’, hadiah juara RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Liga Bolasepak Amatur (AFL) beri amaran buat semua pasukan dan jurulatih agar tidak terbabit dengan gejala menggunakan lesen jurulatih bertauliah bagi mendaftarkan individu lain dalam saingan Liga M3 musim ini.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi amaran itu selepas dikhabarkan wujud aktiviti tidak profesional berkenaan khususnya di saingan divisyen ketiga Liga Malaysia (Liga M) itu.

Tegasnya, beliau akan merujuk perkara tersebut dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mengekang gejala berkenaan dengan hukuman setimpal bakal diberikan mengikut peraturan sedia ada.

“Kita di AFL akan mengikut apa-apa peraturan yang di tetap FAM dan MFL, maknanya kalau ada jurulatih yang sekadar menyandarkan lesen kepada orang lain dan pasukan memang kita pun ambil tindakan.

“Kita pun akan bersama dengan FAM dan MFL untuk tolak perkara ini daripada berlaku dalam AFL. Jadi saya berharap pasukan-pasukan akan mengikut peraturan yang sudah ditetapkan, bermakna jurulatih tempatan yang berlesen A sahaja yang boleh untuk jadi ketua jurulatih dalam pasukan M3 ini.

“Bentuk tindakan saya ingat saya akan ikut apa tindakan yang diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah kalau ada kes itu, dan kita akan rujuk kepada FAM ke atau MFL untuk selaraskan tindakan yang perlu diambil ke atas pasukan-pasukan,” katanya pada Majlis Undian Liga M3, semalam.

Dalam pada itu, untuk musim 2022, Liga M3 tidak membenarkan kehadiran awang import bagi mengelakkan timbul masalah tunggakan gaji.

PENGERUSI Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.- IHSAN FB Amateur Football League

“Bagi saingan tahun ini, kami tidak benarkan pasukan Liga M3 mengambil pemain import kerana enggan banyak masalah timbul dan hanya pemain tempatan sahaja yang dibenarkan beraksi.

“Selain itu, pihak AFL juga berharap tiada lagi masalah gaji yang timbul babitkan kesemua 20 pasukan yang bertanding bagi saingan musim ini khususnya selepas saingan liga dibatalkan sejak dua tahun lalu,” jelasnya.

Dalam saingan Liga M3 musim ini, sebanyak 20 pasukan amatur bakal merebut gelaran juara yang dijadual bermula pada 11 Februari ini dengan membahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Untuk aksi Kumpulan A menyaksikan 10 pasukan terdiri daripada Sains FC, Malaysia University, FC Langkawi, Kinabalu Jaguar FC, Imigresen FC, Manjung City FC, Ultimate FC, Tun Razak City FC, Langkawi City FC dan Armed Forces FC.

Kumpulan B pula terdiri daripada Perlis United FC, Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, BRM FC, Respect FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC dan Real Chukai FC.

Semua aksi peringkat kumpulan akan bermain dua pusingan, manakala empat pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke suku akhir sebelum memasuki ke fasa empat terakhir dan seterusnya final bagi mencari juara Liga M3 musim ini.

Sementara itu, Yusoff turut mengesahkan hadiah kemenangan dinaikkan kepada RM100,000 daripada RM30,000 sebelum ini bagi membangkitkan motivasi setiap pasukan bertanding kali ini.

“Selepas dua musim Liga-M3 tidak dapat dijalankan kerana pandemik Covid-19, saya naikkan hadiah kemenangan supaya semangat pasukan naik dan melonjak.

“Sekarang masih ada beberapa penaja yang masih 50-50, kalau kita dapat tarik lagi penaja, saya akan naikkan lagi hadiah kemenangan untuk menyemarakkan lagi semangat pemain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya