PETALING JAYA: Nama Presiden Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad disebut-sebut antara calon yang berpotensi mengisi kerusi Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bakal dilepaskan Datuk Ab Ghani Hassan.
Ab Ghani perlu melepaskan kerusi Presiden MFL selepas beliau dipilih sebagai Presiden persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu dalam Kongres Luar Biasa badan induk itu, kelmarin.
Pada sidang media selepas berakhirnya Kongres Luar Biasa Kedua 2026 kelmarin, media cuba mendapatkan pandangan Ab Ghani siapakah calon paling ideal untuk menggantikannya di MFL.
Menurut Ab Ghani, secara asasnya beliau sudah mempunyai bayangan calon Presiden MFL, namun mengakui ia perlu di bawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL terlebih dulu untuk dibincangkan.
Apabila ditanya adakah calon itu Nur Azmi, beliau enggan menjawab sebaliknya meminta pihak media sabar menunggu pengumuman rasmi nanti.
“Itu kerusi panas. Itu cakap-cakap di luar, saya tak boleh komen. Siapa-siapa pun boleh petik nama. Saya tak boleh komen selagi ia belum diputuskan di peringkat kepimpinan MFL,” katanya yang dipilh sebagai Presiden FAM kesembilan.
Sebelum ini, media melaporkan Ab Ghani akan melepaskan jawatan Presiden MFL bagi membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab baharu itu.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana tidak mahu fokusnya terbahagi dengan memegang dua jawatan dalam badan bola sepak yang mempunyai tanggungjawab berbeza.
Menurutnya, proses peralihan perlu dilakukan dengan tertib dan baik termasuk memastikan individu yang bakal mengambil alih jawatan Presiden MFL dapat meneruskan pengurusan liga domestik dengan baik.
“Perbincangan mengenai pengganti sedang dilakukan bersama rakan-rakan termasuk bagi menentukan wakil yang akan mengambil alih kerusi berkenaan di MFL,” katanya.
Ab Ghani dipilih sebagai Presiden FAM selepas memperoleh 20 undi berbanding lima undi yang diraih pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Dengan keputusan melepaskan jawatan di MFL itu, perhatian kini terarah kepada siapa yang bakal mengisi kerusi Presiden MFL, dengan nama Nur Azmi antara yang hangat diperkatakan.-UTUSAN











