PARIT: Seorang wanita tekad membesarkan lima anaknya yang masih kecil selepas kehilangan suami yang ditemukan lemas di Sungai Perak, dekat Kampung Kuchai di sini, baru-baru ini.
Nor Atirah Che Nan, 28, kehilangan suaminya, Ahmad Zaki Elias, 38, selepas lelaki itu ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan bot dikatakan milik abangnya yang hanyut di Sungai Perak.
Kejadian berlaku pada Jumaat lalu dan mayat mangsa ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada keesokannya.
Pasangan itu mempunyai lima anak berusia antara dua hingga lapan tahun iaitu Nur Amirah Raqilla Ahmad Zaki, 8; Nur Aqillah Zakirah, 7; Nur Aira Zafirah, 5; Ahmad Arfan Zakwan, 4; dan Ahmad Aryan Zafran, 2.
Katanya, dia tekad meneruskan kelangsungan hidup meskipun terpaksa melalui kesukaran membesarkan lima anak yang masih kecil selain menumpang di rumah mentua yang turut dihuni ramai ahli keluarga lain.
Nor Atirah berkata, sebagai ibu, dia berharap lima anaknya itu dapat menerima ketentuan dan apa yang telah berlaku.
“Saya mahu fokus membesarkan anak-anak kerana perjalanan hidup mereka masih panjang. Saya mahu mereka berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Nor Atirah berkata, sebelum suaminya meninggal dunia, mereka juga sering berbincang untuk memiliki rumah sendiri.
Katanya, suaminya berpesan supaya semua anak mereka meneruskan persekolahan bagi memastikan masa depan yang lebih baik.
“Saya mahu mereka ke sekolah dan berjaya dalam pelajaran. Saya tidak mahu masa depan mereka tidak menentu atau tercicir dalam pelajaran dan didikan agama.
Sementara itu, Nor Atirah berkata, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja kampung mengadu sakit tangan kiri selepas terkena pelepah kelapa sawit ketika bekerja.-UTUSAN.











