PUTRAJAYA: Minyak pengasih, minyak dagu, minyak pelaris, minyak pendinding dan minyak pelaris mani gajah.
Itu adalah antara pelbagai barangan sihir yang boleh diperoleh dengan mudah menerusi beberapa portal beli-belah dalam talian di negara ini.
Tapi tahukah bahawa Islam meletakkan hukum membeli barangan sihir adalah haram dan akad jual beli tersebut juga terbatal sebagaimana dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-658: Hukum beli barang sihir, yang diterbitkan hari ini.
PMWP memaklumkan, barangan sihir adalah barang yang tidak sah untuk dijual beli dan jika sudah dibeli, ia perlu dibuang dan dihapuskan.
Menurutnya, umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu sihir walaupun ia dijual secara dalam talian.
“Sihir adalah salah satu perkara yang diharamkan dalam Islam dan umat Islam dituntut untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengannya.
“Hal ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa sihir adalah salah satu dosa besar,” katanya.
Katanya, sesuatu barangan yang di jual beli dianggap sah sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan kabul serta barang yang diniagakan.
Namun jelas PMWP, dalam konteks permasalahan ini, ulama menyatakan bahawa barang yang dijual mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli.
“Tambahan lagi, ada ulama menyatakan bahawa barang yang diniagakan itu mestilah barang yang diharuskan syarak. Oleh itu, segala barang yang digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah adalah haram dan tidak sah untuk dijual beli.
“Bahkan hasil yang diperoleh penjualan barang tersebut tidak boleh digunakan dan perlu disucikan,” katanya.