Ribut: Kerja pembersihan kerosakan enam bangunan libat kos RM1.9 juta

Ribut: Kerja pembersihan kerosakan enam bangunan libat kos RM1.9 juta

ALEXANDER Nanta Linggi pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu Pertama di Malaysia di R&R Seremban (arah Selatan), Lebuhraya Utara Selatan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kira-kira RM1.9 juta diperuntukkan oleh Kementerian Kerja Raya untuk kerja-kerja pembersihan kerosakan yang berlaku di enam bangunan awam di Telok Panglima Garang, Selangor akibat dilanda ribut petang semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Tabika Kemas Kampung Medan dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sijangkang.

“Ribut kuat telah menyebabkan kerosakan struktur kritikal di enam premis utama termasuk sekolah dan pejabat kerajaan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun bertindak pantas dengan melakukan pemeriksaan tapak, penutupan kawasan berisiko dan penyediaan laporan dalam tempoh 24 jam,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu Pertama di Malaysia di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan), Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan adanya laporan tersebut pihak kementerian dapat mengenal pasti langkah jangka pendek dan panjang yang dapat dilakukan.

Jelas beliau, langkah susulan kini menumpukan kepada penilaian forensik struktur dan keselamatan elektrik sebelum kerja-kerja pembaikan kekal dimulakan.

“Berkenaan dengan kos pembaikan struktur ia tidak dapat dipastikan lagi kerana siasatan sedang dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alexander berkata, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan, semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang membabitkan penutupan lorong di laluan-laluan terlibat akan dihentikan.

Tambah beliau, arahan itu juga termasuklah sepanjang cuti perayaan Deepavali yang bertujuan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN