KUALA LANGAT: Sebuah keluarga hadapi detik cemas apabila rumah mereka dekat Jalan Manggis, Kampung Medan di sini hampir musnah akibat ‘disedut’ angin puting beliung pada petang semalam.
Mangsa, Dzulfikri Ahmad Husaini, 44, berkata, kejadian berlaku begitu pantas, kurang seminit, namun situasi ketika itu amat menggerunkan.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, ketika itu saya berada di dapur. Kemudian hujan turun dengan lebat, disusuli petir yang sangat kuat.
“Kemudian dari tingkap dapur saya tengok kepulan awan pusar membentuk puting beliung datang dari jalan besar menuju ke kawasan kampung. Saya nampak pelbagai sisa sudah berterbangan berpusing-pusing.
“Memang mengejutkan apabila ia semakin hampir membawa sisa yang berterbangan pada ketinggian sekitar 30 ke 50 meter menuju ke rumah dengan cepat. Kemudian bumbung rumah di dapur ‘berombak-ombak’ macam hendak tercabut,” katanya ketika ditemui dekat rumahnya, hari ini.
Tambahnya, ketika itu dia berteriak memanggil dua anaknya Dzulharith Luqman Dzulfikri, 16, dan Nur Aina Saffiya Dzulfikri, 11, supaya bersembunyi di bawah meja di dapur.
“Ketika itu siling dan bumbung rumah berombak-ombak akibat dibadai puting beliung, anak-anak dalam ketakutan. Saya pula pergi ke depan rumah dan memeluk tiang tepi dinding sebab rumah hampir terbang ditiup angin kencang.
“Lebih menakutkan, ada bahagian bumbung yang runtuh dan angin ‘menyedut’ barang di dalam rumah. Ayah saya nyaris ditimpa siling, tetapi berjaya menyelamatkan diri,” jelasnya.
Kata Dzulfikri lagi, puting beliung itu kemudian bergerak menuju ke ara ladang kelapa sawit sebelum hilang.
Akibat bencana itu, Dzulfikri menanggung kerugian lebih RM20,000, iaitu atap rumahnya musnah sepenuhnya manakala cermin kereta bahagian tempat pemandu pecah ditimpa almari.
“Ini kali pertama kejadian puting beliung berlaku di kawasan kampung ini. Pernah berlaku kejadian ribut beberapa tahun lalu, tetapi tidak seteruk ini. Buat sementara saya pasang kanvas di bahagian siling dan atap yang rosak, syukur rumah masih boleh diduduki,” luahnya. – UTUSAN










