IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak supaya tidak menuding jari menyalahkan sesiapa berkaitan penggantungan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut beliau, pihaknya akan berusaha mencari jalan penyelesaian berhubung kes membabitkan kedua-dua pihak itu.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kita perlu mengutamakan kepentingan negara dan saya berpandangan Zii Jia dan BAM juga sentiasa meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya.
“Untuk itu, tentunya ada peluang untuk saya sebagai orang tengah mengajak kedua-dua pihak berbincang untuk mencari jalan keluar bagi mengatasi kemelut ini. Kedua-dua pihak ada kehendak dan kemahuan masing-masing, kita akan cari jalan untuk memastikan kepentingan dan imej negara terjaga dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Larian Baton Komanwel di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein dekat Manjoi, di sini hari ini.
Larian sejauh lima kilometer itu melalui 10 check point di sekitar Manjoi dengan disertai 1,000 peserta terdiri dalam kalangan atlet negara, wakil-wakil agensi, belia dan penduduk setempat.
Sementara itu, mengulas sama ada tempoh pergantungan dua tahun itu merupakan hukuman berat untuk Zii Jia, beliau berkata, perkara itu tidak perlu dilihat secara negatif.
“Tidak usahlah kita negatif, kita mahu cari solusi untuk menjaga imej negara, menjaga kepentingan semua pihak dan insya-Allah, kita akan cari jalan keluar,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai ada pihak yang menyalahkannya dalam isu tersebut, Ahmad Faizal menegaskan, amat mudah untuk pihak berkenaan meletakkan salah kepadanya selaku menteri yang memegang portfolio Kementerian Belia dan Sukan.
“Saya terima ini sebagai asam garam hidup seorang menteri, namun apa yang penting, tanggungjawab saya untuk mencari jalan keluar agar kedua-dua pihak mendapat penyelesaian menang-menang. Bagi saya, itu yang paling penting.
“Menteri boleh terima tanggungjawab namun kecaman mungkin tidak perlu diberikan sebaliknya kritikan membina demi kepentingan kita semua,” katanya.
Terdahulu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan juara All England, Zii Jia dalam kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa dari 18 Januari.
Ia susulan keputusan pemain nombor tujuh dunia itu mahu meninggalkan BAM menerusi surat peletakan jawatan yang dihantarnya pada 11 Januari lalu. – UTUSAN










