Hapus sistem vendor beri subsidi racun kepada pesawah - Utusan Malaysia

Hapus sistem vendor beri subsidi racun kepada pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menggesa supaya kaedah pemberian subsidi input pertanian melalui vendor dihapuskan dan digantikan dengan sistem bayaran terus kepada pesawah.

Koordinatornya, Nurfitri Amir Mohamad berkata, langkah tersebut membolehkan pesawah dapat memilih sistem kawalan perosak dan rumpai yang sesuai dengan sawah, sekali gus membebaskan mereka daripada kebergantungan terhadap racun kimia.

“Kesedaran terhadap bahaya kebergantungan kepada racun kimia semakin meningkat dalam kalangan pesawah tetapi mereka tidak diberi ruang untuk berubah kepada sistem pertanian tanpa kimia yang lebih selamat dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) patut mengambil kesempatan melalui Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk menggalakkan peralihan petani di Malaysia ke arah pertanian alami dan organik sesuai dengan inisiatif-inisiatif MAFI sedia ada seperti myOrganic, myGAP dan program kebun komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, subsidi melalui skim SIPP juga tidak diberikan terus kepada petani tetapi kepada vendor input racun dan baja dan pengusaha jentera.

“Pesawah hanya boleh memilih jenis racun atau baja yang hendak digunakan daripada satu senarai khas yang terhad. Ini bermakna, tambahan RM62 juta untuk insentif racun tersebut sebenarnya hanya akan menguntungkan syarikat pengeluar kerana petani terikat kepada pilihan yang terhad tersebut,” katanya.

Katanya, tindakan subsidi racun itu juga bercanggah dengan kenyataan menteri di Parlimen tahun lalu yang memberi komitmen untuk meningkatkan pertanian organik di Malaysia.

“Para petani di Malaysia sudah terbiasa menggunakan racun sebagai penyelesaian kepada semua masalah perosak dan rumpai. Tanpa disedari, amalan ini menjadi beban yang semakin berat untuk ditanggung setiap tahun.

“Tahun demi tahun, lebih banyak racun yang spesifik kepada sejenis perosak atau rumpai diperlukan oleh petani dan dos yang perlu digunakan meningkat sedikit demi sedikit.

“Secara langsung, peningkatan dos dan jenis racun yang digunakan akan meningkatkan kos bertani terutamanya kepada pesawah padi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya