Guru besar, pengetua diarah senaraikan kerosakan sekolah

Guru besar, pengetua diarah senaraikan kerosakan sekolah

MOHAMAD Alamin (kanan) menyantuni seorang murid ketika lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tawar di Bera, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Guru besar dan pengetua di sekolah-sekolah yang dilanda banjir diarah supaya segera menyenaraikan dengan lengkap kerosakan dialami ekoran musibah berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, laporan kerosakan yang membabitkan struktur bangunan, perabot, peralatan dan buku teks itu perlu segera dihantar ke Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan di negeri terlibat.

Menurutnya, segala laporan kerosakan akan diambil tindakan serta merta supaya pengoperasian sekolah yang bermula sepenuhnya minggu depan berjalan lancar.

“Mengikut statistik Kementerian Pendidikan, lebih 300 sekolah di seluruh negara terjejas banjir yang membabitkan kira- kira 14,000 orang pelajar.

“Kebanyakan sekolah telah dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula semalam dan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas memantau kerja pembersihan empat buah sekolah dalam daerah Bera di sini hari ini. 

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong, SK Durian Tawar dan SK Kuala Triang. 

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohamad Rosli Abdul Rahman,  Pegawai Pendidikan  Daerah (PPD) Bera, Baharum Samad dan Guru Besar SK Kuala Triang, Ainon Brahim.

Mohamad Alamin meminta pentadbir sekolah khususnya guru besar dan pengetua memastikan sekolah bersih dan selamat untuk sesi persekolahan. 

Tegasnya, pihak PPD perlu turun padang memantau segala aspek kebersihan dan kesiapsiagaan sekolah demi kebajikan dan keselamatan murid serta pelajar. 

“Kita mahu setiap sekolah bersiap siaga secara maksimum dalam aspek kebersihan dan keselamatan. Kita tidak mahu timbul pula penyakit bawaan air di samping risiko Covid-19,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kementerian Pendidikan mempunyai jumlah buku teks mencukupi untuk menampung lebih 260,000  kerosakan buku teks akibat banjir. 

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa mana-mana buku teks yang rosak akibat banjir tidak perlu diganti.

“Pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang untuk mengeluarkan kos (bagi menggantikan buku teks),” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sedang di peringkat akhir bagi membantu pelajar terutama yang terjejas banjir membeli kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam dan beg. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya