Guna alasan saudara elak dicekup berdua-duaan - Utusan Malaysia

Guna alasan saudara elak dicekup berdua-duaan

PEGAWAI Penguatkuasa JAIJ mengambil butiran diri pasangan yang bersedudukan di dalam bilik sebuah hotel bajet pada Op Ambang Tahun Baharu di Taman Jaya, Skudai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih menggunakan alasan mempunyai hubungan persaudaraan bagi mengelak daripada dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dalam Op Ambang Tahun Baharu, di sini tengah malam tadi.

Dalam operasi yang dijalankan bermula 11 malam itu, pasangan berusia 20 dan 25 tahun yang merupakan pekerja kilang sukar memberi kerjasama apabila enggan membuka pintu bilik.

Setelah menyedari tidak mempunyai pilihan lain untuk keluar dari situasi itu, akhirnya mereka membuka pintu bilik selepas hampir 10 minit diketuk  penguat kuasa JAIJ di sebuah hotel bajet di Taman Jaya. Pelbagai karenah lain yang terpaksa dilalui penguat kuasa JAIJ sepanjang tiga jam operasi dijalankan antaranya pasangan mabuk, cubaan terjun tingkap dan menangis teresak-esak supaya tidak diambil tindakan.

Tidak kurang juga ada satu pasangan yang sempat melarikan diri ketika penguat kuasa JAIJ sedang mẹmbuat pemeriksaan di bilik lain di hotel bajet yang sama.

Timbalan Pengarah Operasi JAIJ, Anoar Sarimin berkata, operasi yang dijalankan serentak di seluruh daerah itu disertai seramai 72 anggota Bahagian Penguatkuasaan JAIJ dan Unit Penguatkuasaan Pejabat Kadi Daerah. 

Katanya, Op Ambang Tahun Baharu  diadakan untuk membanteras perbuatan maksiat serta aktiviti tidak bermoral bagi menyambut kedatangan tahun baharu.

Tambahnya, operasi kali ini menyasarkan lokasi membabitkan restoran awam, rumah tumpangan dan hotel bajet.

“Dalam operasi itu kita menahan seramai 30 individu termasuk lapan warga Indonesia dan Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun. Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27(1) A&B Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997. 

“Pada masa sama, lima individu tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang beragama Islam berusia 20 hingga 25 tahun turut diberikan surat saman. Mereka disyaki melakukan kesalahan meminum minuman memabukkan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya