PETALING JAYA: Gantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki merupakan antara lapan tuntutan utama Memorandum Rakyat Desak Selamatkan SPRM.
Memorandum itu dikemukakan 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik antaranya Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda Amanah Nasional, Pemuda Sosialis DAP, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mahasiswa Roket dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).
Menerusi memorandum tersebut, mereka mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjalankan siasatan menyeluruh serta membuat saranan tindakan undang-undang terhadap Azam termasuk memanggil semua saksi dan meneliti dokumen berkaitan.
Selain itu, mereka mendesak agar Akta SPRM 2009 dipinda bagi memperkasa integriti, ketelusan serta proses semak dan imbang yang adil.
“Meletakkan SPRM serta suruhanjaya yang lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di bawah bidang kuasa Parlimen termasuk lantikan Ketua Pesuruhjaya.
“Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen perlu dijalankan secara terbuka kepada awam dan keterlibatan secara langsung pihak media,” menurut memorandum itu.
Terdahulu, memorandum itu diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini di pekarangan Bangunan Parlimen hari ini.
Antara lapan tuntutan itu, mereka juga mendesak agar mewajibkan lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya mengisytiharkan harta kepada masyarakat sebelum pengesahan lantikan.
“Kami mendesak supaya kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Hidup Melampaui Kemampuan iaitu mana-mana individu perlu membuktikan kekayaan yang diperoleh sebagai langkah mengekang sebarang salah laku.
“Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) 2010 bagi menjamin perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat,” kata mereka.
Menurut kumpulan berkenaan, lapan tuntutan itu perlu segera dilaksanakan bagi memulihkan integriti negara demi memastikan SPRM menjadi sebuah institusi yang bebas dan bersih, serta efektif dalam memainkan peranan sebagai institusi terutama untuk membanteras rasuah di negara ini.
Sebelum ini, nama Azam sebelum ini terpalit dengan isu pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat namun siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak dapat membuktikan pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.










