Ejen lolos, tujuh PATI warga Indonesia ditahan - Utusan Malaysia

Ejen lolos, tujuh PATI warga Indonesia ditahan

TUJUH PATI warga Indonesia yang ditahan di Terminal Bas Tawau semalam.-IHSAN ATB 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang menyeludup masuk ke Sabah melalui perairan daerah ini berjaya ditahan di terminal bas, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, kumpulan PATI itu dipercayai tiba dari Pulau Sebatik di Kampung Kurnia Jaya menaiki sebuah bot dan kemudian dihantar ke terminal bas menggunakan sebuah kenderaan yang dipercayai diuruskan oleh ejen.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran PATI yang telah menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) di kampung mereka.

Kemudian, pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) mengesan dan mengekori kenderaan itu sehingga ke terminal bas. Selepas menurunkan kesemua tujuh lelaki di terminal bas tersebut, pemandu kenderaan memecut laju bagi mengelak ditahan.

Hasil pemeriksaan terhadap semua lelaki berusia 22 hingga 80 tahun itu mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka memaklumkan masuk ke Malaysia bagi mendapatkan peluang pekerjaan di Sabah.

“Kesemua PATI mengakui masuk ke Sabah menaiki sebuah bot yang diatur oleh ejen di Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan seterusnya, wakil ejen di Tawau akan menghantar mereka ke terminal bas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 turut melaporkan kejadian itu kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mendapatkan bantuan pasukan Op Cegah PATI Daratan untuk melancarkan proses tangkapan itu.

Semua PATI dibawa dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah pada pukul 2.30 pagi untuk menjalani proses saringan Covid-19 dan tindakan lanjut.

Abdul Karim berkata, kerjasama semua agensi penguatkuasaan jelas membuktikan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius untuk mengekang jenayah rentas sempadan serta sebarang ancaman keselamatan demi kedaulatan negara, khasnya di pantai timur Sabah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya