Mahasiswa UPTM anjurkan kejohanan eSukan kebangsaan, tawarkan hadiah RM200,000 - Utusan Malaysia

Mahasiswa UPTM anjurkan kejohanan eSukan kebangsaan, tawarkan hadiah RM200,000

eSukan kebangsaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melakar pencapaian tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang memberi kepercayaan penuh kepada mahasiswanya untuk mengendalikan penganjuran kejohanan eSukan peringkat kebangsaan.

Menerusi acara pembukaan (kick-off) ACS Edu Tour Musim 5 yang dianjurkan bersama CRIT e-Sport Malaysia, pelajar diberi pendedahan langsung secara pendekatan Knowledge Transfer dengan bimbingan pensyarah serta pakar industri.

Penganjuran ini melibatkan mahasiswa merentas disiplin daripada Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Kejohanan yang memfokuskan kepada segmen pemain amatur ini mempertandingkan permainan popular Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM200,000.

Berlangsung selama 7 bulan, program berskala besar ini dijangka melibatkan 111 universiti, kolej dan politeknik di seluruh negara dengan penyertaan sebanyak 1,552 pasukan yang merangkumi lebih 6,200 peserta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 pasukan merupakan wakil pelajar dari UPTM sendiri.

Lebih daripada sekadar pertandingan, ACS Edu Tour Musim 5 turut menjadi platform pembangunan holistik menerusi pelaksanaan Students Influencer Program, Student Entrepreneurship Program dan Students Ambassadors Program.

Inisiatif tersebut memberi peluang kepada mahasiswa untuk mencuba pelbagai peranan penting dalam ekosistem digital termasuk sebagai usahawan, pengulas eSukan (caster) dan penganjur bagi memperluas kebolehpasaran graduan selepas tamat pengajian.

Aspek inklusiviti turut diberi perhatian dalam kejohanan musim ini apabila penyertaan turut dibuka kepada golongan wanita serta pemain Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memperluas akses industri eSukan negara.

Program ini mendapat sokongan padu daripada rakan strategik utama termasuk TuneTalk, VICO, Maggi Hot Cup serta program ‘Kuasa Orang Muda’ oleh Impact Integrated.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN