KUANTAN: Dua penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini, hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM74,000.
Kedua-dua tertuduh, Tengku Asraf Shah Tengku Yahya, 39, dan Zuriani Abdul Rahim @ Abdul Rahman, 39, yang merupakan Penolong Akauntan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub, dekat sini mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana bersama-sama dengan niat melakukan pecah amanah jenayah berkaitan wang milik Pejabat Kebajikan Daerah Raub berjumlah RM74,000.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebatan, juga hendaklah dikenakan denda.
- Menyorok lima jam di mahkamah elak dirakam
- Ini baru aktor hebat, tak perlu juta-juta pengikut – Ogy Ahmad Daud
- Lelaki diculik ditemukan mati dibunuh, mayat ditanam dibungkus kanvas
Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat JKM Raub, antara 22 Jun 2020 sehingga 18 Februari tahun lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman dan telah menawarkan mereka jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Ketika prosiding, peguam Shahidah Muslimah Roslan mewakili Tengku Asraf memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menyara isteri, dua anak dan ibu bapanya yang sudah uzur.
Katanya, anak guamnya itu hanya berpendapatan bersih sekitar RM800 dan mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM3,000 sahaja.
Sementara itu, Zuraini yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah agar wang jaminannya dikurangkan kerana memerlukan wang untuk merawat penyakit anemia yang dihadapainya dan mempunyai anak yang masih bersekolah.
“Saya tidak mampu membayar wang jaminan yang tinggi kerana suami hanya bekerja sebagai kelindan lori dan hanya mampu menyediakan RM1,000. Mohon mahkamah untuk mempertimbangkannya,” katanya.
Bagaimanapun, hakim membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan bermula bulan ini dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai. – UTUSAN ONLINE