Dua pegawai kastam berdepan dua tuduhan sembunyikan barangan rampasan - Utusan Malaysia

Dua pegawai kastam berdepan dua tuduhan sembunyikan barangan rampasan

DUA pegawai kastam berdepan dua tuduhan sembunyikan barangan rampasan di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. - UTUSAN/MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dua pembantu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kehilangan barangan rampasan dan menyembunyikan keterangan, November tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh Mohd. Syahmir Mustafa, 42, dan Mazli Jamil, 45, didapati menyembunyikan barangan rampasan berupa dua buah kontena berisi minuman keras dan rokok yang disimpan di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 17 November tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam bagi dua kontena bernombor UETU5457898 dan BM0U6343884 yang sebelum itu dirampas di Lapangan Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor kira-kira pukul 10 pagi hari yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 119 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didapati menyembunyikan keterangan mengenai barangan rampasan yang sama di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 24 November tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selepas pertubuhan dibacakan, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 7 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim, manakala kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam masing-masing.

Sementara itu, dua lelaki masing-masing Kenneth Lee Beng Hoong, 50, dan R Gunasegar, 35, turut dituduh di mahkamah sama atas tuduhan bersubahat dengan Mohd Syahmir dan Mazli membabitkan rampasan kontena yang sama pada 24 November tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan, polis pada 25 November tahun lalu berjaya menahan tujuh individu termasuk empat anggota penguat kuasa selepas disyaki terbabit sindiket samun minuman keras di sekitar Sepang dan Shah Alam.

Penguat kuasa berusia antara 25 hingga 49 tahun itu dipercayai membantu sindiket samun dengan membocorkan maklumat berhubung tempat penyimpanan minuman keras dirampas polis sebelum ini.

Penahanan suspek membawa kepada rampasan dadah jenis pil Captagon seberat dua kilogram, 47 pil Erimin 5 dan kokain (4.9 gram) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM559,899.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya