PALIN: Jumlah kematian akibat beberapa gempa bumi yang melanda Guatemala meningkat kepada empat orang dengan penemuan mayat seorang remaja yang tertimbus dalam tanah runtuh.
Satu siri gegaran dengan magnitud sehingga 5.7 menggegarkan negara itu pada hari Selasa, dengan pusat gempa berhampiran bandar Amatitlan dan Alotenango di barat daya ibu kota, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Mayat remaja itu ditemui di sebuah kampung dalam kawasan paling teruk terjejas, iaitu perbandaran Santa Maria de Jesus, lapor agensi penyelarasan bencana Conred.
Mangsa lain ialah dua lelaki yang kenderaan mereka tertimbus akibat runtuhan batu, dan seorang wanita yang maut akibat tanah runtuh, kata Presiden Bernardo Arevalo di media sosial.
Gempa bumi itu merosakkan sekitar 90 buah rumah, lebih daripada sedozen jalan raya dan sebuah jambatan, menurut Conred.
Di Santa Maria de Jesus, yang dihuni oleh komuniti Orang Asli Maya, 50 peratus daripada rumah mengalami kerosakan , kata Datuk Bandar Mario Perez.
Perbandaran itu kini tidak mempunyai bekalan elektrik dan hampir terputus hubungan akibat tanah runtuh yang menghalang jalan masuk.
Sesi persekolahan turut dihentikan buat sementara waktu di kawasan yang paling terjejas.
Sekitar 200 gegaran susulan telah direkodkan, menurut institut seismologi negara itu.
Ratusan orang bermalam di jalanan dan taman-taman kerana takut untuk pulang ke rumah.
“Kami masih belum tahu apa yang akan kami lakukan. Sekarang hari mula cerah, hampir semua orang mula kembali ke rumah mereka untuk melihat apa yang telah runtuh atau rosak,” kata Carmen Carrillo, 49 tahun.
Gegaran itu turut dirasai di negara jiran, El Salvador.










