Proses pelantikan Ketua Hakim negara ikut Perlembagaan

Proses pelantikan Ketua Hakim negara ikut Perlembagaan – Azalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu dilaksanakan secara telus dan berlandaskan sepenuhnya kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 122B memperuntukkan pelantikan kedua-dua jawatan tertinggi badan kehakiman itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Katanya, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Perkara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. 

“Ini juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Azalina berkata, isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan kekosongan kedua-dua jawatan itu yang menimbulkan perhatian masyarakat awam.

Katanya, Kabinet memberi jaminan proses pengisian kekosongan jawatan dua jawatan tertinggi badan kehakiman itu dijalankan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang berkaitan selaras dengan kehendak rakyat agar sistem kehakiman kekal bebas dan berintegriti.

“Kerajaan sangat mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai perkara ini.

“Kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat tentang pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang,” katanya.

Azalina berkata, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini menjalankan tugas sebagai Ketua Hakim Negara mengikut Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

Katanya, langkah ini bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara berjalan lancar sementara menunggu pelantikan rasmi dibuat.

“Kerajaan Madani kekal komited untuk terus memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang bagi meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.

“Kerajaan juga menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses Perlembagaan untuk berlangsung dengan tertib dan sewajarnya demi institusi kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN