Dua beranak ditahan tangkap ikan guna bubu naga - Utusan Malaysia

Dua beranak ditahan tangkap ikan guna bubu naga

DUA beranak yang ditahan ketika sedang menurunkan bubu naga untuk menangkap ikan di perairan Pulau Talang, Perak hari ini. - UTUSAN/IHSAN MARITIM MALAYSIA PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Hasrat dua beranak mendapat hasil tangkapan ikan yang banyak menggunakan bubu naga dekat perairan Pulau Talang tidak kesampaian apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak awal pagi tadi.

Kedua-duanya, bapa dan anak lelaki, masing-masing berusia 48 dan 20 tahun ditahan bersama 10 set bubu naga dalam sebuah bot fiber kira-kira dua batu nautika barat daya Pulau Talang, kira-kira pukul 5 pagi.

Ketika ditahan, kedua-duanya dipercayai datang dari Pelantar Bot Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, sedang menurunkan bubu naga tersebut ke dalam laut.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, selepas diambil keterangan, mereka dibebaskan dengan jaminan Maritim Perak, sementara menunggu siasatan kes tersebut selesai.

“Bot peronda Maritim yang melakukan rondaan Op Pintas dan Op Sayong telah mengesan suspek dan kedudukan bubu naga tersebut di sekitar perairan Pulau Talang kira-kira pukul 5 pagi.

“Bot fiber bersama 10 set bubu naga itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Tegasnya, penguatkuasaan terhadap bubu naga dilihat serius kerana pihaknya sering menerima aduan mengenai segelintir komuniti nelayan yang masih berdegil menggunakannya tanpa memikirkan kesan sampingan kepada perkembangan habitat marin untuk jangka panjang.

Jelasnya, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

Justeru, Shahrizan mengalu-alukan segala maklumat berkaitan penyalahgunaan apa jua alat penangkapan ikan di perairan Malaysia dan komuniti maritim boleh menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya