Dos penggalak untuk individu memerlukan sahaja - Pakar - Utusan Malaysia

Dos penggalak untuk individu memerlukan sahaja – Pakar

SEORANG pakar virologi mengesyorkan tahap rangsangan imuniti seseorang dinilai sebelum diberi suntikan dos penggalak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dos penggalak vaksin Covid-19 tidak sepatutnya diberikan kepada semua orang, sebaliknya diambil oleh mereka yang disahkan mempunyai tahap rangsangan lemah terhadap pengambilan vaksin terdahulu.

Menjawab pertanyaan Utusan Malaysia, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, pengambilan dos satu dan dua dijangka sekurang-kurangnya mampu memberikan peningkatan empat kali ganda tahap antibodi terhadap vaksin seseorang mengikut faktor imunologi.

Justeru, kata beliau, jika rangsangan tahap imuniti tidak berlaku selepas suntikan dos satu dan dua, maka seseorang itu boleh diberikan dos penggalak jika perlu.

Beliau berkata, terdapat dua tujuan pemberian vaksin iaitu untuk merangsang tindak balas imun dan kedua untuk merangsang memori tindak balas imun tersebut.

“Jika seseorang itu mengambil dos kedua masih tidak ada peningkatan tahap itu, jadi mereka ini mungkin memerlukan satu lagi dos untuk memastikan dia mempunyai rangsangan yang cukup.

“Jika kita sudah ada rangsangan yang baik, buat apa kita bagi lagi (dos penggalak) terutama dalam masa terdekat, ia tidak ada keperluan,” katanya di sini semalam.

Sazaly berkata, tahap rangsangan seseorang sepatutnya perlu dinilai terlebih dahulu, namun perkara itu tidak dilaksanakan Kementerian Kesihatan sebelum individu itu diberikan dos penggalak, sebaliknya membuat keputusan ‘pukul rata’ dengan meminta setiap orang mengambilnya.

Sebagai contoh, katanya, program imunisasi kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak tidak ada dos penggalak diberikan selepas imunisasi pertama melainkan jika ada sekali pun, ia mengambil jarak dalam tempoh lama yang mencecah bertahun-tahun kemudian kerana pemberian imunisasi itu bertujuan merangsang tindak balas imun pada masa itu dan memori.

“Sepatutnya untuk mengambil dos penggalak itu terserah kepada rakyat, ia diberikan sebagai pilihan sama ada nak mengambil atau tidak.

“Contohnya mereka yang ada komorbiditi, mereka ini mungkin digalakkan untuk diambil dos penggalak kerana kemungkinan dia mempunyai rangsangan rendah disebabkan tahap kesihatan dia lemah.

“Tetapi yang muda-muda, sihat tubuh badan, kerajaan suruh ambil juga dos penggalak buat apa? Bagi saya tidak nampak ada keperluan bagi mereka yang mempunyai sistem imun bagus untuk mengambil dos penggalak,” katanya.

Menurut beliau, KKM perlu menunjukkan data lengkap dan meyakinkan kepada rakyat bahawa ada keperluan bagi mereka yang muda, sihat dan mempunyai sistem imun yang baik perlu mendapatkan dos penggalak.

Katanya, berikan bukti bahawa pemberian dua dos vaksin gagal merangsang imun memori yang baik agar rakyat boleh membuat penilaian sendiri kepada keperluan dos penggalak.

Beliau berkata, semua tahu mereka yang telah mendapatkan vaksin masih boleh dijangkiti dan menular kepada orang lain dan keperluan vaksin adalah untuk diri sendiri supaya kadar jangkitan tidak menjadi lebih teruk.

Justeru, katanya, tidak perlu wujudnya diskriminasi menggunakan vaksin dan langkah ini dikhuatiri menjadi pencetus diskriminasi bentuk baharu iaitu diskirimasi biologi.

“Kebolehupayaan seseorang untuk menular adalah sama dengan yang sudah ada vaksin. Jadi saya tidak faham adanya diskriminasi dan saya tak setuju diskriminasi menggunakan status vaksin.

“Situasi ini adalah titik permulaan diskriminasi biologi, mungkin akan datang nanti, akan dibuat peraturan pula siapa yang tidak ambil vaksin denggi contohnya tidak boleh masuk kedai atau menetapkan sesiapa yang tidak mencukupi kadar Indeks Jisim Badan (BMI) tertentu dilarang itu dan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, diskriminasi melalui biologi tidak boleh dilakukan kerana sistem biologi seseorang adalah berbeza-beza.

“Sebagai contoh, ada orang melahirkan anak tidak cukup bulan dan ada yang terlebih bulan dan bayi yang lahir itu tidak sama, jadi kenapa perlu membezakan? Begitu juga tindak balas kita kepada vaksin semuanya berbeza-beza.

“Kalau kita bagi vaksin yang sama, akan ada orang yang memberikan respon berlainan terhadap vaksin itu. Ada setengah orang tidak rasa apa-apa bila ambil vaksin, tetapi ada setengahnya boleh mengakibatkan kematian.

“Jadi kerajaan tidak boleh menafikan kebarangkalian rangsangan berbeza-beza itu tidak boleh berlaku kerana setiap orang itu lain-lain disebabkan sistem biologi setiap orang berlainan, kita makan makanan yang sama pun rasa berbeza-beza setiap orang. Itu hakikat yang mesti diterima,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kadar antibodi seseorang akan menurun selepas beberapa bulan kerana sistem imun kita tidak boleh sentiasa dirangsang untuk berada pada tahap sentiasa tinggi dan boleh menyebabkan penyakit imun lain.

Katanya, sistem imun berada pada paras tinggi apabila diperlukan sahaja dan menurun semula selepas itu.

“Sistem imun ini dijadikan satu sistem yang amat sempurna dan paling hebat untuk melawan jangkitan. Jadi kita tidak boleh main-main dengan sistem imun sesuka hati kita dan tidak boleh sentiasa tinggi kerana akan menimbulkan penyakit lain.

“Walaupun ketika sistem imun dia turun, dia sudah ada memori. Bila diperlukan dia akan keluar balik hanya jika diperlukan, bukan sentiasa tinggi sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×