PUTRAJAYA: Kerajaan bakal melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang sudah pun berakhir pada 2020.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar baharu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu akan memastikan sektor itu terus kukuh.
“Ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk dapat memacu pembangunan sektor agrikomoditi secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran,” katanya ketika berucap pada Program Eksklusif Bersama Perdana Menteri dan kemudian melancarkan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Hotel Marriott di sini, malam ini. Yang hadir sama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.O
Objektif program itu adalah untuk menjadi medium terbaik penyebaran maklumat secara lebih berkesan. Inisiatif tersebut turut bertujuan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dalam usaha kementerian itu bagi membangun dan memperkasa sektor agrikomoditi negara ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sektor itu amat penting kerana pada 2020, ia menyumbang RM85 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar meskipun berdepan isu wabak Covid-19.
“Malah, jumlah pendapatan eksport sepanjang tahun lalu setakat November, meningkat 41.6 peratus kepada RM189.8 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2020,” jelasnya.
Justeru ujar beliau, DAKN dijangka dapat memayungi pembangunan agrikomoditi negara agar sektor tersebut terus kompetitif dan kekal terpelihara sepanjang masa walau apa jua cabaran.
Dasar baharu itu, jelas beliau, juga bakal diselaraskan dengan suasana norma baharu dan peningkatan trend penggunaan digital sejajar pelan pemulihan pasca pandemik Covid-19. Dalam nada optimis, beliau berkeyakinan DAKN dapat digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi tempatan meliputi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus bertaraf dunia.
Usaha dalam tempoh sedekad akan datang itu, kata beliau, turut memenuhi agenda Matlamat Pembangunan Mampan ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi dicapai menjelang 2030.
“Selain itu, DAKN akan tingkat keyakinan rakyat terhadap sektor ini yang amat penting kepada usaha pembangunan ekonomi negara terutama buat hampir sejuta pekebun kecil,” katanya.
Beliau bahkan menaruh harapan tinggi agar sektor agrikomoditi yang menjadi sumber utama pendapatan golongan itu akan dapat menjana semula iktisad dan kestabilan ekonomi rakyat. Sehubungan itu, beliau meminta jentera kerajaan dapat membantu memperbaiki taraf hidup dan pendapatan para pekebun demi misi kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia. Pada masa sama, kerajaan ujarnya, akan memastikan sektor agrikomoditi negara terus kukuh dan ia dibuktikan menerusi peruntukan RM670 untuk kementerian tersebut dalam Bajet 2022.
Ismail turut memberi jaminan, kerajaan dengan sokongan pemain industri akan berdiri teguh mempertahankan produk komoditi negara supaya terus diterima di pasaran seluruh dunia.
“Demi semangat Keluarga Malaysia, kita akan menangkis pelbagai cabaran terutama sekatan pihak Barat yang memburukkan agrikomoditi negara kononnya dikaitkan buruh paksa,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE