Contohi Chelsea, Vietnam formula kejayaan pasukan bola sepak - PM - Utusan Malaysia

Contohi Chelsea, Vietnam formula kejayaan pasukan bola sepak – PM

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menandatangani plak ketika  merasmikan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat memerlukan infrastruktur canggih dan moden semata-mata, sebaliknya melibatkan pembangunan pemain sistematik bermula dari peringkat akar umbi seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

Perdana Menteri berkata, seorang pemain bola sepak berbakat perlu dibimbing jurulatih terbaik dari usia muda dan seorang jurulatih pula wajar mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar. 

Kata beliau, proses  itu bukan satu rahsia besar tetapi menjadi formula kejayaan  mana-mana pasukan melalui kemahiran teknikal yang dimiliki hasil bimbingan  jurulatih hebat sekali gus meningkatkan kebolehpasaran  pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat  antarabangsa. 

“Contohnya pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di  Stamford Bridge, England. Ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap. Akademi mereka mengendalikan  pasukan yang dianggotai pemain semuda sembilan tahun hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan  kelab dan sokongan ibu bapa.  

“Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang  menyarung jersi biru itu. Ini yang patut dicontohi kelab-kelab  bola sepak di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis pecah Tanah Ibu Pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Presint 5, di sini hari ini.

Ismail Sabri turut memberikan contoh pasukan Vietnam yang mana pada tahun 2006, pasukan itu  menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara berjaya mara ke pusingan akhir  kelayakan Piala Dunia 2022. 

Kata beliau, jika negara memperhebat program pembangunan seperti akademi bermula dar daerah seterusnya negeri, Malaysia juga dapat melahirkan pemain-pemain bagus dan berbakat besar.  

“Apa yang membezakan Malaysia dan  Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal. 

“Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi  Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan  Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan  semangat profesionalisme tinggi yang menuntut sesebuah organisasi dan individu membuat perancangan rapi. 

Beliau menjelaskan, mana-mana organisasi kerajaan  mahupun bukan kerajaan, pembangunan perisian atau ‘software’  dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui  perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara. 

“Pasukan bola sepak negara ini mempunyai peminat yang ramai dan memiliki penyokong yang setia iaitu Ultras Malaya. Peminat dan penyokong ini sentiasa dahagakan kejayaan skuad negara sama ada  di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun antarabangsa.  

“Kerana itu, sentiasa menjadi harapan peminat dan penyokong  Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi  meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu  perkembangan mutu bola sepak negara dengan mengambil kita Peta Hala Tuju (F:30)  yang dilancarkan pada 2018 sebagai simbol kesungguhan FAM  dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan  Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak disegani. 

Katanya, sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah  satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030 dan ia mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM  sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari  semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka. 

Bagaimanapun, beliau berkata, tanggungjawab pembangunan bola sepak tidak seharusnya dipikul FAM semata-mata, malah wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal. 

Sebagai menunjukkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara, Perdana Menteri turut menyumbang sebanyak RM10 juta kepada FAM pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.