Buruh binaan dipenjara tiga bulan kerana berbogel dan ugut bunuh jiran - Utusan Malaysia

Buruh binaan dipenjara tiga bulan kerana berbogel dan ugut bunuh jiran

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang buruh binaan kerana mengugut untuk membunuh jirannya dan berbogel di hadapan rumah wanita itu.

Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas A. Anbalagan, 38, yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Bagi kesalahan mengugut, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala penjara dua bulan bagi pertuduhan melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di tempat awam.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 November tahun lalu.

Pertuduhan pertama, Anbalagan didakwa mengugut untuk membunuh wanita berusia 38 tahun itu dengan niat untuk mendatangkan cedera.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan rumah mangsa di Batu Arang, Gombak di sini, pada 8.40 malam, 2 November tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di tempat awam di lokasi sama, pada 7 pagi, keesokannya.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pada 2 November tahun lalu, tertuduh yang merupakan jiran hadapan rumah mangsa telah menengking dan mengajak wanita itu tidur bersamanya.

Fakta kes turut menyatakan, tertuduh mengugut jika wanita itu tidak menurut kehendaknya, dia akan membunuh mangsa sebelum membaling pisau dan sebatang kayu ke arahnya.

Menurut fakta, buruh berkenaan juga selalu mengganggu ketenteraman awam di kawasan tersebut.

Mangsa membuat laporan polis selepas Anbalagan datang semula ke rumahnya pada keesokan hari dalam keadaan bogel dan mengajaknya tidur bersama.

Peguam M. Mariappan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian anak guamnya mabuk serta memohon maaf atas kejadian itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh yang merupakan jirannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya