PETALING JAYA: Genting Malaysia Berhad (GENM) memeterai kerjasama strategik dengan AGIBOT Innovation (Shanghai) Technology Co. Ltd (AGIBOT) bagi memperkasakan pembangunan robotik kecerdasan buatan (AI) fizikal dalam sektor hospitaliti dan hiburan.
Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut dimeterai bersempena Persidangan Rakan AGIBOT (APC2026) di Shanghai, China, hari ini.
Menerusi kerjasama itu, GENM akan memanfaatkan kepakaran AGIBOT dalam robotik fizikal bagi membangunkan penyelesaian inovatif merangkumi tiga bidang utama iaitu taman tema, perhotelan dan hiburan.
Ketua Pegawai Operasi Resorts World Genting (RWG), Aaron Chia Khong Chid berkata, inisiatif itu membolehkan syarikat melangkah ke dunia robotik fizikal bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkayakan pengalaman pengunjung di resort bersepadu tersebut.
“Inovasi sentiasa menjadi teras Genting Malaysia dalam membentuk masa depan hospitaliti. Kami percaya teknologi ini dapat mentakrif semula interaksi pengunjung serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju industri pelancongan yang berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah perjanjian itu, GENM akan memperoleh dan melaksanakan robot fizikal daripada AGIBOT bagi menyokong program perintis serta integrasi operasi di seluruh premisnya.
Antara fokus utama termasuk pembangunan robot humanoid bagi interaksi pengunjung, khidmat pelanggan, serta integrasi teknologi dalam persembahan pentas secara langsung.
Sementara itu, AGIBOT turut mengumumkan pelancaran Persembahan Gala Robotik pertama di Malaysia yang dijadualkan berlangsung di RWG pada awal tahun 2027.
Presiden Rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah AGIBOT, Abel Deng berkata, kerjasama itu bertujuan menetapkan piawaian baharu dalam penglibatan pengunjung merentasi pelbagai sektor hospitaliti.
“Persembahan Gala Robotik yang akan datang hanyalah permulaan. Kami sedang membangunkan ekosistem berskala di mana robot humanoid meningkatkan pengalaman manusia secara lebih bermakna dan berimpak,” jelasnya.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GENM, Tan Sri Lim Kok Thay dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GENM, Datuk Indera Lim Keong Hui. –UTUSAN










