MCW lapor polis gesa siasat Victor Chin, desak CEO NexG beri penjelasan

MCW lapor polis gesa siasat Victor Chin, desak CEO NexG beri penjelasan

JAIS Abdul Karim menunjukkan laporan polis di IPD Kajang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Corruption Watch (MCW) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan serius penyalahgunaan dana syarikat serta kemungkinan penyelewengan kewangan yang melibatkan NexG Bhd.

Pada masa sama, MCW turut mendesak agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG, Datuk Abu Hanipah Noordin turut mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan keadaan dan dakwaan kepincangan yang dilakukan semasa Victor Chin menjadi COO.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ia membabitkan dakwaan serius mengenai penyalahgunaan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta semasa tempoh Victor Chin Boon Long memegang jawatan COO NexG Bhd sekitar November 2024 hingga September 2025.

“Saya memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap perkara ini kerana berlakunya banyak transaksi-transaksi yang ‘mencurigakan’ antaranya pinjaman melalui MMR Capital, pelaburan dalam Classita dan pembelian saham MMAG daripada pihak berkaitan,

“Ia telah menimbulkan persoalan dari segi tadbir urus dan potensi konflik kepentingan, di samping berlaku dalam tempoh syarikat mencatatkan kerugian nilai saksama dan kerugian bersih yang ketara,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, melabel Victor Chin Boon Long sebagai ‘syaitan korporat’ dalam satu sidang media khas bagi menafikan pembabitannya dalam skandal ‘Mafia Korporat’.

Beliau menyifatkan dakwaan ahli perniagaan itu sebagai satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada siasatan pihak berkuasa.

Kontroversi ini turut berkisar kepada transaksi saham MMAG Holdings Bhd melibatkan isteri Victor Chin, Chan Swee Ying, yang dilapor melupuskan 9.53 peratus kepentingan (220 juta saham) bernilai RM88.22 juta kepada NexG Bhd.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor Chin susulan dakwaan penglibatannya dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat.

Mengulas lanjut, Jais berkata, perkara ini bukan sahaja menyentuh integriti sektor korporat, malah memberi kesan langsung terhadap imej negara, keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN