"Bunda bunuh, buang ego demi..." - Hetty Koes Endang - Utusan Malaysia

“Bunda bunuh, buang ego demi…” – Hetty Koes Endang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJUJURNYA saya agak gementar untuk untuk bersua bicara secara depan dengan permata seni seorang ini. Mungkin kerana banyak cakap-cakap belakang untuk membuatkan saya terfikir, benarkah dia seorang diva?

Tetapi melihatkan karakternya di layar kaca, dia bukan seperti itu. Ramah dan penuh keibuan. Kelakar pun ada. Serba serbi cukup. Dia menyempurnakan makna seorang legenda seni.

Diva? Tidak ada, hatta sebesar hama. Bicaranya tenang, diselang seli jenaka seorang legenda.

Saya mulakan soalan dengan apa istimewanya Malaysia di mata seorang Hety Koes Endang? Soalan manja-manja katanya. Tetapi pantas sahaja dia menjawab; keramahan dan musang king! Ya, dia memang hantu durian.

“Di Indonesia, durian mahal. Jadi memang Bunda akan cari musang king setiap kali ke sini. Lagipun orangnya ramah dan Bunda juga punya ramai kawan. Ada sahaja sesi makan-makan,” katanya memulakan bicara.

Mengenang semula kehidupan awal sebelum bergelar seorang penyanyi, 52 tahun bukan satu tempoh singkat. Di tangga usia 14 tahun, dia sudah menabur benih seni. Mekar namanya terus di laman ini.

Lagu-lagunya malar segar. Berakar dalam hati pendengar. Kasih, Kuda Hitam, Dingin dan Rindu antara yang kekal menambat hati peminatnya sehingga sekarang. Aura seorang bintang yang tidak pernah pudar.

Susur galur hidupnya juga berdarah seni. Bapanya seorang penyanyi, ibunya pula berseni tari. Maka, tidak hairan darah yang mengalir terus sebati. Menjadikan dia bintang seni yang selayaknya bergelar biduanita.

“Mencapai kedudukan ini tidak mudah, tetapi bermulanya Bunda kerana ibu bapa juga berdarah seni. Keluarga seniman. Tetapi dalam semua adik beradik, mungkin bunda seorang sahaja masih kekal dalam industri. Rezeki Bunda.

“Pertandingan demi pertandingan saya juarai. Itu hasil usaha. Pastinya bakat kurniaan Tuhan juga adalah nikmat terbesar. Paling penting hargai waktu, jangan sia-siakan. Waktu adalah wang,” ujarnya.

Bagi Bunda, menjaga nama sebagai seorang anak seni itu tidak semudah mematahkan sebatang pensel. Dari usia 14 tahun, dia tahu kehidupannya tidak dapat lari daripada kontroversi dan cerita sensasi.

“Kita kena jaga nama baik. Suara juga. Ini adalah aset dan rezeki. Bina dan jaga jangan sampai rosak. Istirehat secukupnya. Tahu pantang dan tidak berlebihan. Bersederhana sahaja,” kata wanita berusia 64 tahun ini.

“Apa yang kamu cari Hetty?”

Soalan itu menjadi jawapan tatkala saya bertanya tiadakah rasa penat sepanjang 52 tahun bergelar anak seni. Dia sendiri mengambil masa bukan sesaat untuk menjawab. Lama juga dia membelek hatinya.

Ketika di usia 32 tahun, soalan itu yang berlegar-legar dalam fikirannya. Runsing dan seperti hilang arah. Dia seperti sedang berenang dan hampir sahaja tenggelam.

“Apakah dunia yang dicari oleh kamu Hetty? Bukan. Tetapi kalau bukan, apa? Jawapannya adalah bernikah. Ketika itu Bunda meletakkan noktah terhadap pencarian duniawi dan mula melihat kebahagiaan akhirat.

“Setiap hari Bunda mengejar wang ringgit. Dua show dalam sehari. Gila! Tetapi masih ada kekosongan dalam hati. Bunda mula mencari cinta. Dan di tangga usia 33 tahun, Bunda memilih untuk bernikah,” kata anak kelahiran Jawa Timur, Indonesia ini.

Ternyata keputusan untuk memilih lelaki kiriman Tuhan, Yusuf Emir Faishal sebagai imamnya adalah yang terbaik. Namun, bukan mudah untuk seorang Hetty Koes Endang merobohkan tembok egonya.

“Bunda kena buang dan bunuh ego sendiri. Sehebat mana pun seorang wanita, di rumah dia adalah isteri. Menjadi makmum kepada imam yakni suaminya. Sabar dan sabar. Itu kuncinya,” ujar penyanyi bersuara emas ini.

Lantas saya ajukan, ada penyesalan sepanjang lima dekad. Terus dia menjawab; Tidak ada sama sekali.

“Untuk apa Bunda menyesali semua itu. Untuk mencapainya juga tidak mudah. Bersyukur. Setiap itu adalah pengalaman. Pahit atau manis. Dengan menyanyi, Bunda mengelilingi dunia. Rezeki itu sudah diatur,” katanya.

Camuk seorang ibu

Ketika saya melayangkan soalan, sepanjang bergelar anak seni, memori apa yang paling sukar untuk dilupakan?

Perlahan ibu kepada empat orang anak ini memandang tepat ke mata saya. Matanya mula bergenang, dia mengambil masa sebentar untuk menjawab. Seperti sukar sekali untuk dia menyusun kata.

“Camuk (rotan) seorang ibu. Yang mengajar anaknya apa itu kehidupan. Memastikan disiplin dan tujuan hidup bermakna. Tetapi, itu tinggal memori yang selamanya hidup dalam fikiran dan hati Bunda.

“Perjuangan Bunda adalah dengan ibu sendiri. Jika anda masih ada ibu bapa, sayangilah mereka. Hormati mereka. Nasihat dan camukan itu yang membuatkan kita amat rindu.

“Sosok seorang ibu yang menghidupkan karakter seorang anak. Tetapi tidak lepas dari ayah. Tanpa sseorang ayah, anak akan terkapai kapai. Bunda sendiri tidak pernah cakap tidak. Sekali pun,” katanya.

Saya bertanya, adakah satu ketika nanti, cintanya terhadap seni semakin pudar lantas perlahan dia meletakkan noktah? Siapa tahu, di usia menjengah 60 tahun dan bahagia ditemani keluarga, dia mungkin sudah puas.

“Tidak. Tidak sama sekali. Sampai akhir hayat akan akan tetap di sini. Rezeki Bunda juga ini. Mempertahan itu sulit. Lebih sulit dari memulakan. Lihat sahaja, ada yang tidak bertahan.

“Orang lihat Bunda sebagai diva. Sombong, Tidak, itu bukan saya.

“Di atas pentas, ya saya Hetty Koes Endang. Tetapi luar, saya adalah Hetty Koes Dewi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya