PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengesa isu siasatan penuh bukan sahaja dilakukan terhadap Tan Sri Azam Baki, malah ketua-ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah berkhidmat sebelum ini.
Menurut kenyataan Majlis PH, siasatan itu wajar dilakukan badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM di samping mengesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang seperti yang telah didakwa pelbagai pihak.
“Pada masa sama, Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi Lembaga Penasihat Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang sedia ada perlu direhatkan sehingga siasatan bebas tersebut selesai,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH kesal bahawa kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Azam kerana menjejaskan integriti dan melumpuhkan kredibiliti SPRM pada mata rakyat malah juga di peringkat antarabangsa seperti kenyataan dibuat Transparency International.
Kata kenyataan sama lagi, kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR tidak boleh diterima kerana menunjukkan kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham diguna Azam untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.
“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini.
“Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya.
Menurut Majlis Presiden PH, tindakan Suruhanjaya Sekuriti mengeluarkan kenyataan semalam bahawa ianya akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam tentang perkara ini hanya demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana negara ini.
“Kami berpandangan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi boleh berdiam diri. Selaku Ketua Majlis, beliau harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam.
“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai- pegawai SPRM,” katanya lagi. – UTUSAN










