Tiada PRK untuk Parlimen Pandan, Setiawangsa

Tiada PRK untuk Parlimen Pandan, Setiawangsa

MOHD. Rafizi Ramli (kanan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengangkat tangan semasa Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di PJ Performing Arts Center, Selangor semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi luar jangka bagi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu diputuskan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul memaklumkan tiada keperluan untuk mengisi kekosongan itu.

Katanya, SPR telah menerima pemakluman daripada beliau berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.

“Ia diterima melalui surat bertarikh 20 Mei selepas kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada PRK bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa disahkan kosong selepas dua Ahli Parlimen masing-masing Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengemukakan peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat turut mengesahkan telah menerima notis peletakan jawatan daripada Rafizi dan Nik Nazmi selepas mereka mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Kedua-dua ahli politik itu juga mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), seterusnya mengambil alih sebuah parti politik lain dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (Bersama). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN