Manifesto Rafizi Ramli ibarat 'angan-angan Mat Jenin' – Penganalisis

Manifesto Rafizi Ramli ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ – Penganalisis

PENGASAS Parti Bersama Malaysia, Tan Gin Theam (kanan) menyerahkan sijil pendaftaran Parti Bersama Malaysia kepada Rafizi Ramli (tengah) pada Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi di Petaling Jaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Manifesto Parti Bersama Malaysia yang dibentangkan Datuk Seri Rafizi Ramli diibaratkan menyerupai ‘angan-angan Mat Jenin’ yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mashitah Mohd Udin berkata, manifesto 12 agenda ini sememangnya kedengaran menarik pada peringkat slogan, namun dari sudut ekonomi politik dan pentadbiran negara kebanyakan daripadanya lebih bersifat idealisme populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal dan boleh dilaksanakan.

Katanya, masalah utama manifesto ini ialah ia penuh dengan sasaran besar tetapi amat lemah dari sudut mekanisme pelaksanaan, anggaran kos, keutamaan fiskal, sumber pembiayaan dan realiti politik pentadbiran.

“Dalam bidang dasar awam, sesiapa sahaja boleh menyebut mahu bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi lebih 5 peratus, gaji meningkat setiap tahun atau penjagaan kanak-kanak universal, tetapi persoalan sebenar yang perlu dijawab ialah bagaimana semua itu mahu dibiayai dan dilaksanakan dalam keadaan fiskal negara yang terbatas.

“Sebagai contoh, idea semua isi rumah menerima bantuan bulanan secara automatik akan melibatkan implikasi fiskal yang sangat besar. Berapa jumlah bantuan? Siapa yang layak? Jika hanya bersasar, bagaimana mekanisme penilaian dibuat? Berapa kos tahunan kepada kerajaan? Adakah cukai akan dinaikkan? Adakah subsidi lain akan dipotong? Semua ini tidak dijelaskan,” katanya hari ini.

Dr. Mashitah Mohd Udin

Mashitah berkata, begitu juga sasaran pertumbuhan ekonomi dan kenaikan gaji melebihi 5 peratus setiap tahun adalah bukan perkara yang boleh dicapai hanya dengan formula atas kertas.

Jelasnya, pertumbuhan ekonomi bergantung kepada produktiviti, pelaburan, perdagangan global, kestabilan politik, keyakinan pasaran, kadar tukaran mata wang, struktur industri dan pelbagai faktor luar kawalan kerajaan.

Malah, katanya, negara maju sendiri pun tidak mampu menjamin pertumbuhan tinggi secara konsisten untuk satu dekad penuh seperti yang dijanjikan Rafizi.

“Sebab itu saya setuju jika dikatakan manifesto ini seolah-olah menyerupai “angan-angan Mat Jenin” yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara.

“Tambahan pula, rakyat mempunyai hak untuk mempersoalkan kredibiliti Rafizi berdasarkan rekod beliau sendiri ketika menjadi Menteri Ekonomi selama hampir tiga tahun.

“Jika benar idea-idea ini begitu hebat dan boleh dilaksanakan, mengapa sebahagian besar daripadanya tidak diperjuangkan secara agresif ketika beliau berada dalam Kabinet dan mempunyai akses langsung kepada proses membuat dasar negara?” soalnya.

Tambah beliau, hakikatnya, sepanjang memegang portfolio ekonomi, beliau hanya terkenal dengan pengenalan sistem PADU yang tidak pun digunakan oleh kerajaan walaupun kos membinanya amat mahal dan kontroversi vending machine.

Sedangkan, katanya, reformasi ekonomi berskala besar seperti yang kini dijanjikan dalam 12 agenda tersebut tidak cuba dilaksanakan ketika beliau berada dalam kerajaan.

“Lebih menarik, ketika Rafizi masih menjadi Timbalan Presiden atau Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), manifesto-manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga tidak menampilkan sebahagian besar idea besar yang kini dijaja olehnya.

“Oleh itu, mengapa hanya sekarang semua agenda ini tiba-tiba muncul selepas beliau kalah dalam pemilihan parti dan memilih haluan politik baharu?” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika benar perkara-perkara seperti bantuan bulanan universal, had pekerja asing 5 peratus, pendidikan awal universal, nisbah doktor 1:300, autonomi penuh universiti awam dan pertumbuhan ekonomi lebih 5 peratus untuk satu dekad merupakan idea dasar yang begitu penting dan kritikal untuk negara, mengapa ia tidak dijadikan agenda utama PKR/PH ketika beliau berada di kedudukan tertinggi parti sebelum ini?

Keadaan ini katanya, menimbulkan persepsi bahawa banyak idea yang dibawa sekarang lebih bersifat reaktif dan politikal selepas keluar daripada arus kuasa, bukannya hasil perjuangan dasar yang konsisten sejak awal.

“Dalam politik, konsistensi sangat penting. Rakyat akan bertanya sama ada agenda ini benar-benar lahir daripada keyakinan ideologi yang mendalam ataupun sekadar usaha membina identiti politik baharu selepas konflik dalaman parti.

“Inilah masalah besar politik populis. Ketika berada dalam kerajaan, alasan yang diberikan ialah terikat dengan proses Kabinet, kompromi politik dan kekangan fiskal tetapi apabila keluar daripada arus kuasa tiba-tiba pelbagai janji besar dan idealistik mula dikemukakan seolah-olah semuanya boleh diselesaikan dengan mudah jika diberi kuasa penuh.

“Tambahan pula, semua 12 agenda ini hanya boleh dilaksanakan jika parti Bersama menang PRU16 dan membentuk kerajaan Persekutuan. Persoalannya ialah bagaimana ini semua akan berlaku sedangkan Rafizi sendiri mengumumkan bahawa parti itu akan bergerak solo?

“Dalam sistem politik Malaysia yang berasaskan gabungan, hampir mustahil sebuah parti baharu yang kecil dapat membentuk kerajaan secara bersendirian,” katanya.

Ini bermaksud, katanya, jika parti Bersama benar-benar mahu berkuasa, mereka akhirnya tetap perlu bekerjasama dengan parti-parti lain dan membentuk kerajaan campuran.

“Jika itu berlaku, maka semua idealisme yang sedang dijual hari ini juga akan tertakluk kepada kompromi politik yang sama seperti dialami PH sebelum ini. Jadi, apa bezanya?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN