PETALING JAYA: Bantuan banjir Keluarga Malaysia dijangka mencecah RM2 bilion, lebih tinggi sebagaimana yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Disember lalu iaitu RM1.4 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, anggaran jumlah tersebut dibuat berdasarkan beberapa aspek bantuan lain seperti keperluan pembaikan rumah dan fasiliti awam yang terkesan akibat musibah banjir itu.
Katanya, bagi memastikan segala bantuan diproses dan sampai ke tangan mangsa secepat mungkin, Kementerian Kewangan amat responsif dalam menyalurkan peruntukan seawal 28 Disember 2021.
Setakat ini, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan yang setakat ini berjumlah RM300 juta untuk bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Banjir Negara atau KWABBN.
“Sebelum ini, bantuan banjir yang diberikan lazimnya tertumpu kepada pemberian Bantuan Tunai Wang Ihsan atau BWI di samping kerja-kerja pembersihan dan pembaikan rumah serta infrastruktur awam.
“Pada kali ini, selain menambah baik kadar dan skop BWI bagi Monsun Timur Laut 2021/2022, kerajaan turut membantu mangsa banjir antaranya melalui pemberian baucar diskaun pembelian barangan elektrik, diskaun membaiki kenderaan, bantuan pembelian barangan keperluan asas serta bantuan pembaikan kecil rumah,” katanya dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata, lebih RM125 juta sudah disalurkan kepada negeri yang terlibat banjir bagi menyelaras BWI kepada ketua isi rumah (KIR) dan waris mangsa banjir.
“Sejak 27 Disember hingga kini, 75,000 KIR telah menerima sumbangan BWI dengan penyaluran berjumlah RM75 juta.
“Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 46 orang waris telah menerima bantuan sebanyak RM10,000,” katanya.










