SABAK BERNAM: Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu segera diadakan bagi membincangkan musibah banjir luar biasa yang melanda negeri ini bulan lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail berkata, pelaksanaan sidang itu perlu berikutan banyak kawasan penduduk terjejas akibat dinaiki air.
“Sidang khas itu penting kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat memberi pandangan dan cadangan bagi membantu kerajaan Selangor mencari jalan terbaik menghadapi bencana tersebut.
“Justeru, saya berpendapat DUN Selangor perlu diadakan sidang khas berkaitan banjir itu yang dianggap luar biasa berbanding sebelum ini,” katanya selepas menyerahkan sumbangan persekolahan kepada sebuah keluarga di Taman Air Manis di sini, hari ini.
Menurut beliau yang juga ADUN Sungai Air Tawar, sidang itu turut membantu kerajaan negeri menyegerakan penyerahan bantuan kepada mangsa banjir.
“Penyerahan bantuan di Selangor dilihat agak terkebelakang berbanding negeri lain seperti di Pahang yang dapat melakukannya dengan lebih cepat.
“Jumlah penerima setakat ini masih berada pada peratus rendah dan kita perlu mengadakan sidang khas bagi memikirkan cara untuk memudahkannya,” katanya.
Tambah Rizam, sidang khas itu turut memberi peluang kepada ADUN mengemukakan aduan berkaitan saliran longkang dan kunci air rosak.
“Sebagai contoh, projek Canal City ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) perlu diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Pelaksanaan projek seumpama itu sesuatu perkara yang baik dan sudah tentu ia mampu mengatasi banjir,” katanya.
Sementara itu, ADUN Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar turut menyokong sepenuhnya cadangan pelaksanaan sidang khas DUN berkenaan.
“Sebagai ADUN, masalah banjir di kawasan masing-masing dapat diperincikan lebih lanjut pada sidang berkenaan.
“Seandainya sidang khas itu tidak boleh diadakan, saya berharap sesi sidang DUN yang dijadualkan pada bulan Mac depan boleh dipanjangkan khas untuk banjir sahaja,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya mengakui keprihatinan kerajaan negeri yang memperuntukkan ratusan juta ringgit untuk membantu mangsa banjir.
“Namun, selain sumbangan material, kita perlu memfokuskan faktor emosi atau psikologi yang masih trauma dengan bencana itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE










