Banjir di Meru bongkar premis arak tiruan, guna botol kitar semula - Utusan Malaysia

Banjir di Meru bongkar premis arak tiruan, guna botol kitar semula

VIJAYA Rao Samachulu (tengah) menunjukkan arak tiruan yang dirampas pada sidang akhbar kejayaan polis menumpaskan kilang minuman keras tiruan di Ibu pejabat Polis Daerah Klang Utara. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Bencana banjir yang melanda Meru di sini pada 18 Disember lalu menyebabkan operasi proses arak tiruan dekat dua buah rumah di Jalan Haji Jabar yang diubah suai menjadi premis perniagaan di sini terbongkar.

Kedua-dua rumah yang terletak bersebelahan dan beroperasi sejak dua tahun lalu itu diketahui selepas bencana berkenaan mencetuskan bau busuk dipercayai minuman keras sehingga berjaya dikesan polis yang membuat risikan sejak dua minggu lalu di sana.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, hasil risikan, serbuan dilakukan terhadap premis terbabit pada 5 Januari lalu, pada pukul 4.20 petang.

“Dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah D9, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dalam Operasi (Op) Kontraban itu, polis merampas kira-kira 500 botol dan 254 tin arak tiruan pelbagai jenama dan lari daripada cukai di premis berkenaan.

“Selain itu, polis turut merampas beberapa peralatan memproses minuman keras seperti mesin, pati arak, cecair alkohol, beberapa botol kaca kosong di premis berkenaan dan wang tunai RM1,066 yang mana nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Utara, Kapar, di sini hari ini.

Beliau menambah, ketika serbuan polis turut menahan seorang wanita warga Myanmar dipercayai bekerja sebagai kerani di premis terbabit.

Dalam pada itu, Vijaya Rao memaklumkan wanita terbabit yang berusia 21 tahun itu yang tinggal di negara ini sejak 2019 disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen apabila gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan kepada polis.

Justeru, dia direman selama 14 hari di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959, sementara serbuan dan rampasan pula disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Bagaimanapun polis masih mengesan dua lelaki termasuk seorang yang juga warga Myanmar berusia antara 30 hingga 40 tahun dipercayai terbabit dalam operasi berkenaan, namun tiada di tempat kejadian ketika serbuan dibuat.

Sabit kesalahan, wanita terbabit di bawah Akta Imigresen 1959 boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali berserta sebatan.

Bagi proses arak tiruan pula, sabit kesalahan suspek boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 mengikut mana yang lebih tinggi bagi kesalahan pertama.

Jika sabit kesalahan kali kedua, suspek berhadapan denda 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mengikut mana yang lebih tinggi atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Vijaya Rao memberitahu rampasan arak terbabit adalah untuk pasaran tempatan dan wanita warga Myanmar itu turut bertindak sebagai jurujual untuk melayan pelanggan yang datang ke premis berkenaan.

“Antara arak dirampas adalah berjenama Club 99 Whisky, Grand Royal Whisky, Myanmar Whisky, Mc. Dowell’s Whisky dan Atlas Megastrong 16 yang menggunakan botol kitar semula diambil dari kelab-kelab hiburan sekitar Lembah Klang.

“Arak terbabit didapati dijual pada harga sekitar RM30 hingga RM40 sebotol iaitu tiga kali ganda lebih murah daripada jenama tulen dan kebanyakan pelanggan mereka adalah warga asing yang menetap di sekitar kawasan berhampiran premis itu dan di tempat lain,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN