BUKIT MERTAJAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang semalam tampil membuat laporan polis terhadap Tan Sri Azam Baki susulan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk pembelian saham.
Laporan polis terbaharu itu merupakan sebahagian laporan polis yang telah dibuat oleh beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak beberapa hari lalu.
Menurut Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, laporan itu dibuat kerana pihaknya percaya perbuatan Azam secara tidak langsung telah melanggar Akta Penjawat Awam 1993 iaitu berkaitan pemilikan saham.
Pada masa sama katanya, perbuatan membenarkan saudara sendiri menggunakan akaun peribadi bagi tujuan pembelian saham juga telah mendatangkan kecurigaan yang serius di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983.
“Laporan polis itu dibuat supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan kerana kita yakin ada lagi akta atau elemen-elemen lain yang dilanggari sebelum ini,” katanya selepas membuat laporan polis itu di sini malam tadi.
Dalam pada itu Fahmi berkata, kerajaan juga dilihat tidak begitu teliti dalam melantik seorang yang berjawatan tinggi seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana tidak menyiasat terlebih dahulu rekod yang dimiliki.
“Jika perkara seperti ini tak didedahkan, saya yakin rakyat Malaysia tidak akan tahu apa yang berlaku.
“Kita tidak perlu takut kerana negara kita ada undang-undang. Jadi, kita perlu bersuara demi kepentingan negara,” katanya.










