Ayob Khan akhiri tugas di Johor, sempat titip pesanan kepada kontinjen negeri - Utusan Malaysia

Ayob Khan akhiri tugas di Johor, sempat titip pesanan kepada kontinjen negeri

AYOB Khan Mydin Pitchay (kiri) menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Khaw Kok Chin sambil disaksikan Abdul Jalil Hassan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor di IPK Johor di Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini secara rasmi mengakhiri tugas beliau di negeri ini setelah akan mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Dalam majlis serah terima tugasnya, anak jati Pendang, Kedah itu sempat mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor agar terus berpegang kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah sepanjang menjalankan tugas.

Berkongsi pengalamannya selama 22 bulan bergelar Ketua Polis Johor, Ayob Khan mengakui menempuh pelbagai onak dan duri dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang memegang jawatan tersebut.

Beliau berkata, semua pihak perlu sentiasa memastikan penyeliaan integriti dan penyampaian perkhidmatan sentiasa diperkemas dari masa ke semasa untuk diberikan dan dipamerkan yang terbaik kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan dalam kecemerlangan selama ini tetap ada beberapa kekurangan tetapi Insya-Allah perkara ini dapat diperbaiki dari masa ke semasa dan perlu sentiasa cuba memberi perkhidmatan yang baik untuk masyarakat pada setiap masa.

“Sejak dari awal menerajui polis di negeri ini, saya sentiasa menekankan aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah biarpun kita mungkin akan ditohmah, dikecam, dikritik mahupun diugut. Tiada sebarang tolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah, salah laku, bersekongkol jenayah, dadah mahupun penyeliaan yang tidak telus.

“Orang tidak akan mendengar apa yang kita cakap, tetapi orang akan melihat apa yang kita buat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan serah terima tugas di sini hari ini. 

Jawatan Ketua Polis Johor akan dipangku oleh Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin selama dua minggu sebelum disandang oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang juga bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, sebelum ini.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan.

“Saya bersyukur pada Allah SWT dan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan pucuk pimpinan PDRM kerana beri kepercayaan kepada saya memegang amanah baru sebagai Pengarah JSJN yang akan diambil alih esok.

“Saya juga ingin menjunjung ucapan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim sultan Iskandar, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta barisan Exco dan rakyat Johor kerana beri sepenuh kepercayaan kerjasama dan sokongan sepanjang saya bertugas,” jelasnya. 

Pada majlis yang sama, turut diadakan serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor antara Datin Zalena Mohd. Ariffin dan Sharifah Mazni Syed Kassim yang disaksikan Pengerusi Perkep JSJ Bukit Aman, Datin Seri Dr. Siti Alida John Abdullah.

Dalam pada itu, Ayob Khan dan isterinya, Zalena turut berbesar hati menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Tabung Perkep Kontinjen Johor.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya