GUA MUSANG: “Ketika ahli keluarga dan jiran sekampung sedang memasak untuk sambutan kenduri padi, ayah sempat menoreh pokok getah yang terletak hanya kira-kira 1.8 meter dari rumah kami sebelum dibaham harimau.”
Anak ketiga mendiang Anek Along, 59, Seni Anek berkata, ketika kejadian adik perempuannya mendengar jeritan mangsa meminta tolong, namun sudah terlambat apabila mendapati bapanya sudah meninggal dunia.
Mangsa serangan harimau belang itu Jumaat lalu selamat dikebumikan mengikut adat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, petang semalam.
Sebelum itu, mayat Anek dibawa ke Kampung Sau dari Hospital Gua Musang oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu menggunakan kenderaan pacuan empat roda
Seni, 30, berkata, dia bersama enam adik-beradiknya berterima kasih kepada pihak Jakoa Kelantan/Terengganu yang membantu urusan pengkebumian mendiang bapa mereka.
Katanya, mereka sekeluarga terlalu sedih dan sukar untuk melupakan tragedi malang menimpa mendiang.
“Adik perempuan saya yang berumur 24 tahun mendengar jeritan meminta tolong namun sudah terlambat kerana ayah sudah mati dibaham harimau,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Gua Musang.
Seni berkata, ayahnya merupakan seorang penoreh getah tinggal bersama empat lagi adik-beradiknya selepas kematian ibu mereka, kira-kira tiga tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Roslina Bun turut hadir melawat keluarga Anek untuk mengucapkan takziah serta memberi kata-kata semangat kepada mereka.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo.
Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan Anek Along, 59, ditemukan maut dibaham harimau belang ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau.
Susulan insiden tersebut, harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram yang menyerang mangsa telah ditembak mati Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). – UTUSAN










