Anak jalani rawatan susulan selepas melecur, suami isteri mohon bantuan - Utusan Malaysia

Anak jalani rawatan susulan selepas melecur, suami isteri mohon bantuan

SITI Zubaidah Ibrahim (kanan) dan Emirol Nordin bersama anak mereka, Mohammad Habib Andra yang mengalami melecur dan masih menjalani rawatan susulan ketika ditemui di Kampung Kurnia Diraja, Gemas, Tampin, semalam. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sepasang suami isteri memohon sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban bagi rawatan susulan anak mereka yang melecur hampir 70 peratus badan selepas terkena air panas dalam kejadian pada bulan Oktober tahun lalu.

Siti Zubaidah Ibrahim, 31, berkata, dalam kejadian di kediamannya di Kampung Kurnia Diraja, Gemas di sini, anaknya, Mohammad Habib Andra Emirol yang kini sudah berusia 10 bulan cedera melecur kira-kira 70 peratus serta ditahan di wad Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban selama hampir sebulan.

Katanya, kejadian berlaku apabila anak bongsu itu yang masih merangkak pada ketika itu mencapai air panas yang diletakkan di tepi meja.

“Tidak sangka anak saya dapat mencapai air panas tersebut. Saya dan suami Emirol Nordin, 30, segera kejarkan anak ke klinik swasta berhampiran sebelum dibantu oleh ketua pasukan bomba tempat suami bertugas ke klinik kesihatan serta hospital.

“Alhamdulillah, anak semakin sembuh, namun dia perlu menjalani rawatan susulan di hospital yang mana kos setiap kali berulang-alik menelan belanja lebih RM100.

“Pendapatan suami yang hanya bekerja sebagai anggota bomba bantuan dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah rendah, memang keadaan kewangan sedikit sukar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Siti Zubaidah berkata, dia juga kini dalam proses untuk membuat permohonan semula kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi bantuan kepada tiga anaknya iaitu Liyana Amani, 11, Dhia Amirah, 8 dan Annsyandeera, 6.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0599541100061194 atas nama Siti Zubaidah Ibrahim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya