PETALING JAYA: Harga minyak mentah berpotensi melonjak antara 30 hingga 60 peratus sekiranya rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran gagal mencapai persetujuan, sekali gus mencetuskan gangguan besar terhadap bekalan global susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pasaran minyak ketika ini amat sensitif terhadap perkembangan geopolitik, khususnya melibatkan keselamatan laluan tenaga utama dunia seperti Selat Hormuz.
Katanya, sebarang petunjuk positif dalam rundingan biasanya memberi tekanan menurun kepada harga minyak kerana premium risiko geopolitik semakin berkurang.
“Baru-baru ini, harga minyak mentah dilaporkan jatuh hampir lima peratus selepas rundingan AS-Iran disifatkan sebagai positif.
“Sebaliknya, kegagalan rundingan atau peningkatan konflik di rantau Asia Barat boleh mencetuskan lonjakan harga minyak secara mendadak, malah berpotensi meningkat antara 30 hingga 60 peratus sekiranya berlaku gangguan besar terhadap bekalan.
“Secara keseluruhan, pergerakan harga minyak dalam jangka pendek lebih banyak dipacu oleh jangkaan pasaran berbanding realiti bekalan fizikal semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehingga petang semalam, harga minyak mentah Brent didagangkan pada AS$97.28 (RM385.97) setong.
Dalam masa sama, Barjoyai berkata, perhatian pasaran turut tertumpu kepada kedudukan strategik Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan tenaga dunia.
“Dianggarkan sekitar 20 juta tong minyak sehari, bersamaan kira-kira 20 hingga 25 peratus bekalan global, melalui selat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, tiada alternatif logistik berskala besar yang mampu menggantikan fungsi Selat Hormuz sepenuhnya dalam tempoh singkat.
“Oleh itu, sebarang ancaman keselamatan atau gangguan operasi di kawasan tersebut boleh menyebabkan pasaran minyak kekal tidak stabil.
“Sekiranya laluan itu kembali beroperasi sepenuhnya dan risiko keselamatan reda, bekalan global dijangka pulih, sekali gus membantu menstabilkan harga minyak. Namun, proses normalisasi bekalan mungkin mengambil masa beberapa bulan berikutan faktor keselamatan, insurans dan logistik antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, harga minyak mentah global dijangka menurun dengan ketara dalam jangka pendek sekiranya rundingan antara AS dan Iran mencapai perkembangan positif, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga dunia.
Katanya, sentimen pasaran ketika ini banyak dipengaruhi oleh prospek pembukaan semula Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak global.
“Jika rundingan berjalan positif, harga minyak boleh turun dengan signifikan kepada sekitar AS$80 (RM316.96) hingga AS$85 (RM336.77) setong. Dalam jangka panjang, harga minyak mungkin boleh menurun sehingga AS$75 (RM297.15) setong,” katanya.
Beliau berkata, Selat Hormuz memainkan peranan amat penting dalam rantaian bekalan minyak dunia memandangkan kira-kira 20 peratus agihan minyak global melalui laluan strategik tersebut.
“Pembukaan semula laluan ini pastinya akan merancakkan agihan minyak dunia dan membantu menstabilkan bekalan global, sekali gus menurunkan harga minyak dalam jangka panjang,” katanya.
Menurut beliau, harga minyak mentah dijangka terus menurun sekiranya ketegangan geopolitik di Asia Barat reda dan rundingan antara pihak terlibat mencapai situasi menang-menang.
“Saya menjangkakan harga minyak boleh turun kepada sekitar AS$85 (RM336.77) setong dalam tempoh minggu hadapan dengan syarat rundingan berjalan lancar dan mencapai persetujuan yang baik,” katanya. – UTUSAN










